
Perodua telah membuat penurunan harga bagi model paling berpatutan mereka, Perodua Axia. Berkuat kuasa serta-merta, Perodua Axia generasi ke-2 yang mula-mula diperkenalkan pada Februari 2023, kini boleh diperoleh dengan harga permulaan RM33,900.
Menariknya, Perodua memaklumkan penurunan harga ini tidak melibatkan sebarang perubahan pada spesifikasi atau standard kualiti Axia. Sebaliknya, harga baharu dapat ditawarkan hasil daripada peningkatan kecekapan operasi syarikat.
Harga baharu Perodua Axia

Dengan pelarasan terbaharu ini, varian Axia 1.0 G menerima penurunan harga paling besar di Semenanjung Malaysia, daripada RM38,600 kepada RM33,900, iaitu penjimatan sebanyak RM4,700.
Berikut ialah harga baharu Perodua Axia di Semenanjung Malaysia:
- Perodua Axia 1.0 G – RM33,900 (sebelum ini RM38,600)
- Perodua Axia 1.0 X – RM38,500 (sebelum ini RM40,000)
- Perodua Axia 1.0 SE – RM43,000 (sebelum ini RM44,000)
- Perodua Axia 1.0 AV – RM49,000 (sebelum ini RM49,500)
Sementara itu, harga baharu untuk Malaysia Timur adalah seperti berikut:
- Perodua Axia 1.0 G – RM35,900 (sebelum ini RM40,600)
- Perodua Axia 1.0 X – RM38,500 (sebelum ini RM42,000)
- Perodua Axia 1.0 SE – RM45,000 (sebelum ini RM46,000)
- Perodua Axia 1.0 AV – RM51,000 (sebelum ini RM51,500)
Berdasarkan harga tersebut, varian G menyaksikan pengurangan paling ketara, manakala varian tertinggi AV menerima penurunan harga RM500.
Tiada perubahan pada spesifikasi Axia

Walaupun harga diturunkan, Perodua menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dibuat terhadap spesifikasi mahupun piawaian kualiti Axia. Menurut pengeluar kereta nasional itu, pelarasan harga ini dapat dilakukan hasil daripada peningkatan kecekapan operasi, selain usaha penambahbaikan berterusan bersama pembekal tempatan dan rakan kongsi dalam ekosistem automotif.
“Semakan harga ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia pada masa ini. Harga baharu ini turut mencerminkan usaha berterusan kami untuk terus memperbaiki keberkesanan operasi, yang turut membawa kepada pengurangan kos servis serta semakan harga bagi tawaran QV-E dan Battery as a Service (BaaS).
Semakan harga ini adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan berterusan yang dijalankan secara rapat bersama pembekal tempatan serta rakan kongsi dalam ekosistem automotif kami. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka (vendor dan dealer) atas kerjasama penuh yang diberikan dalam meningkatkan kecekapan kos demi kebaikan bersama industri, dan seterusnya, buat semua rakyat Malaysia,” Zainal Abidin Ahmad, Presiden & CEO Perodua.

Walau bagaimanapun, penurunan harga ini tidak melibatkan Axia E, atau lebih dikenali sebagai Axia Rahmah yang masih kekal dijual pada harga RM22,000. Varian asas ini masih berasaskan Axia generasi pertama, berbeza dengan barisan Axia generasi kedua yang menerima pelarasan harga kali ini.
Walaupun sudah lama tersebar khabar angin bahawa Axia E bakal dihentikan pengeluarannya, buat masa ini masih tiada sebarang petunjuk rasmi bahawa perkara tersebut akan berlaku dalam masa terdekat. Setakat ini, Axia Rahmah masih lagi disenaraikan di laman web rasmi Perodua.






