Perolehan Imaspro naik 11% kepada RM59 juta bagi FY26 didorong permintaan tinggi racun perosak

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perolehan Imaspro naik 11% kepada RM59 juta bagi FY26 didorong permintaan tinggi racun perosak Image from: Perolehan Imaspro naik 11% kepada RM59 juta bagi FY26 didorong permintaan tinggi racun perosak amree20/10/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt — Pengeluar bahan kimia pertanian terkemuka, Imaspro Corporation Berhad mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 11.1% kepada RM58.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), didorong peningkatan permintaan terhadap produk racun perosak di pasaran domestik.

 

Dalam makluman Laporan Tahunan 2026 kepada Bursa Malaysia, syarikat tersenarai di Pasaran Utama itu turut merekodkan kenaikan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 7.4% kepada RM6.81 juta bagi FY26, berbanding kira-kira RM6.35 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Menurutnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan itu turut melonjak 16.3% kepada RM9.27 juta berbanding RM7.97 juta pada FY25, berikutan faktor perolehan yang lebih tinggi, margin keuntungan kasar semakin bertambah baik, serta pendapatan faedah didapati terus kukuh.

 

"Imaspro turut memperkukuh kedudukan kewangan dengan pegangan tunai dan baki bank berjumlah RM40.1 juta berbanding RM33.5 juta pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, Lembaga Pengarah memutuskan untuk tidak mengagihkan sebarang dividen bagi tempoh berkenaan," kata syarikat tersebut.

 

Pasaran domestik ujarnya, terus menjadi pendorong utama apabila menyumbang sebanyak RM51.6 juta atau kira-kira 88% daripada keseluruhan perolehan sepanjang FY26, sekali gus mencatatkan pertumbuhan pesat mencecah 13.67 peratus berbanding hanya RM45.4 juta pada FY25.

 

Sebaliknya, perolehan daripada pasaran eksport mencatatkan penurunan sebanyak 4.8 peratus kepada RM6.8 juta berbanding RM7.2 juta pada tahun lalu, merangkumi baki 12 peratus daripada jumlah perolehan kumpulan akibat persekitaran perdagangan antarabangsa yang mencabar.

 

Imaspro_DagangNews2026

 

Mengikut pecahan segmen produk racun perosak Imaspro, segmen racun rumpai (herbisida) meraih pertumbuhan kukuh 17.4% kepada RM23.2 juta, manakala segmen racun serangga (insecticides) dan racun kulat (fungicides) masing-masing menyumbang sebanyak RM8.0 juta dan RM14.2 juta.

 

"Kumpulan turut mencatatkan kecekapan operasi dengan peningkatan margin keuntungan kasar kepada 31.5 peratus berbanding 30.0 peratus pada tahun kewangan sebelumnya, disokong oleh langkah kawalan kos secara yang lebih ketat serta pelaksanaan disiplin pengurusan kewangan," katanya.

 

Kunci kira-kira kumpulan kekal teguh apabila jumlah aset meningkat kepada RM149.5 juta manakala ekuiti pemegang saham melonjak kepada RM137.6 juta, disokong tahap pinjaman yang sangat rendah iaitu RM1.22 juta sahaja tanpa sebarang pinjaman baharu diambil.

 

Bagi mengekalkan daya saing, Imaspro melaburkan RM1.5 juta untuk kos pendaftaran produk serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di pusat penyelidikan pertanian seluas 21 hektar, yang menempatkan satu-satunya kemudahan penyelidikan anai-anai tersuai di Malaysia.

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutifnya, Datuk Kapten Dr Hamzah Mohd Noor menyatakan kumpulan kekal berwaspada terhadap cabaran harga bahan mentah import dan ancaman produk tiruan, namun optimis terhadap prospek jangka panjang sektor pertanian serta keterjaminan makanan negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved