
KOTA TINGGI – Tular di media sosial dua individu disyaki cuba menceroboh dan mencuri di sebuah rumah di Felda Lok Heng Selatan di sini namun disergah pemilik rumah menerusi mikrofon televisyen litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, lebih kurang 3 petang, pihaknya telah menerima laporan yang dibuat oleh seorang wanita warga tempatan yang merupakan pemilik rumah tersebut.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,
“Kes ini masih dalam siasatan dan pihak polis memohon kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu melengkapkan siasatan.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui hotline bilik gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222.
Terdahulu, dua individu disyaki suspek bertempiaran lari selepas disergah pemilik rumah menerusi mikrofon CCTV dalam kejadian cubaan merompak rumah berkenaan pada pukul 4.20 pagi.
Kejadian berlaku ketika kediaman berkenaan tidak mempunyai penghuni dimana pemilik rumah menyedari kehadiran penceroboh selepas menerima notifikasi amaran daripada sistem CCTV di telefon bimbitnya. – KOSMO! ONLINE
The post Perompak kena sergah ketika cuba pecah rumah appeared first on Kosmo Online.






