liza26/11/2026 - 10:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov – Persaingan harga dan pemberian diskaun lebih tinggi bagi menarik pembeli terus menekan margin keuntungan MBM Resources Berhad (MBMR), khususnya dalam perniagaan perdagangan dan pemasangan kenderaan.
Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan prestasi kumpulan itu bertambah baik pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26).
MBSB Research berkata, keuntungan operasi segmen perdagangan dan pemasangan kenderaan merosot 36.8% kepada RM11.3 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, susulan peningkatan diskaun jualan untuk mengekalkan jumlah jualan dalam persekitaran persaingan sengit.
Hasil segmen berkenaan turut menyusut 0.9% kepada RM541.5 juta, mencerminkan tekanan terhadap perniagaan automotif kumpulan. Secara keseluruhan, MBM Resources mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM89.5 juta bagi 3QFY26, merosot 5.3% berbanding RM94.5 juta setahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat 0.9% kepada RM641.8 juta berbanding RM635.9 juta sebelumnya.
Sumbangan Perodua tampung tekanan operasi
MBSB Research berkata, sumbangan daripada syarikat bersekutu, terutamanya Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) terus menjadi penyumbang penting kepada keuntungan MBM Resources apabila merangkumi kira-kira 79% daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan.
Bagi 3QFY26, sumbangan keuntungan syarikat bersekutu berjumlah RM82.3 juta, susut 0.9% berbanding RM83 juta setahun sebelumnya. Namun, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, sumbangan itu meningkat 10.1% kepada RM235 juta.
Dalam perkembangan berasingan, segmen pembuatan alat ganti automotif mencatatkan prestasi lebih baik apabila hasil meningkat 12.2% kepada RM99.4 juta, manakala keuntungan operasi meningkat 20.1% kepada RM5.8 juta.
Prestasi itu disokong peningkatan pengeluaran industri automotif sebanyak 2.9% tahun ke tahun pada 3QFY26.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), MBM Resources merekodkan PATAMI sebanyak RM249 juta, meningkat 4.4% daripada RM238.4 juta setahun sebelumnya, manakala PATAMI teras naik 6.8% kepada RM248.8 juta.
RHB Research jangka keuntungan meningkat pada suku keempat
Sementara itu, RHB Research pula menjangkakan keuntungan MBM Resources meningkat secara suku ke suku pada 4QFY26, disokong corak bermusim yang lazimnya menjadikan suku keempat tempoh paling baik bagi kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan kemudahan operasi kumpulan beroperasi pada kapasiti penuh dalam tempoh berkenaan, sekali gus menyokong prestasi perniagaan.
Bagaimanapun, RHB Research mengambil kira kemungkinan tekanan daripada jualan Perodua yang lebih rendah, dengan jumlah jualan bagi 10 bulan pertama 2026 menyusut 5% tahun ke tahun.
Dalam pada itu, BIMB Securities menyifatkan keputusan 3QFY26 MBM Resources sebagai menepati jangkaan, meskipun prestasi suku berkenaan lebih lemah berbanding suku sebelumnya.
Firma itu menaikkan unjuran PATAMI teras bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 7.8%, 6.7% dan 8.6% kepada RM342.4 juta, RM351.5 juta dan RM361.1 juta, disokong jangkaan sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.
Tiga firma penyelidikan berbeza pandangan
Dari segi penilaian saham, MBSB Research mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM6.14, manakala RHB Research turut mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM6.10.
Sebaliknya, BIMB Securities Research mengekalkan saranan Pegang dengan harga sasaran RM5.28, mengambil kira tekanan margin perniagaan perdagangan kenderaan, prospek jumlah keseluruhan industri automotif yang lebih rendah serta persaingan dalam pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, MBM Resources mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak lapan sen sesaham dan dividen khas 12 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan bagi FY26 setakat ini sebanyak 48 sen sesaham. - DagangNews.com






