Persatuan Kayu Balak Sarawak gesa kerajaan tanggung sebahagian caj pengambilan pekerja asing FWTA RM1,854

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 2:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Persatuan Kayu Balak Sarawak gesa kerajaan tanggung sebahagian caj pengambilan pekerja asing FWTA RM1,854 Image from: Persatuan Kayu Balak Sarawak gesa kerajaan tanggung sebahagian caj pengambilan pekerja asing FWTA RM1,854 hamden06/10/2026 - 14:14 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt - Persatuan Kayu Balak Sarawak (STA) menggesa kerajaan menanggung sekurang-kurangnya sebahagian kos sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA), susulan caj RM1,854 yang dikenakan bagi setiap pekerja asing.

 

Ketua Pegawai Eksekutif STA, Annie Ting berkata, kerajaan perlu menjalankan semakan serius terhadap caj berkenaan bagi memastikan kos sistem itu tidak menjadi beban yang menjejaskan daya maju dan daya saing industri di Sarawak.

 

Menurutnya, majikan tidak seharusnya dipertanggungjawabkan untuk membiayai sepenuhnya sistem yang diwajibkan kerajaan, terutama apabila FWTA turut menjalankan pelbagai fungsi sektor awam.

 

"Memetik kenyataan Penasihat kepada Jabatan Premier Sarawak, Datu Ken Leben data yang dijana turut digunakan bagi perancangan dasar, pembangunan ekonomi, perancangan tenaga kerja dan pembuatan keputusan.

 

"Memandangkan fungsi sektor awam yang lebih luas ini, mengapa majikan perlu menanggung keseluruhan kos sistem tersebut?

 

"STA berpandangan bahawa kos teras pembangunan dan operasi FWTA sewajarnya ditanggung, sekurang-kurangnya sebahagiannya, oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ting turut memetik kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala pada 20 Mei lalu, yang mendedahkan bahawa sebuah syarikat swasta dilantik untuk membangunkan dan mengendalikan sistem berkenaan.

 

Ketelusan kos, akauntabiliti dan justifikasi caj RM1,854

Katanya, bayaran yang dikutip daripada majikan pula disimpan oleh entiti swasta berkenaan dan bukannya dikembalikan kepada kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan awam-swasta.

 

Menurut Ting, pengaturan itu menimbulkan persoalan berhubung ketelusan kos, akauntabiliti dan justifikasi caj RM1,854 yang dikenakan.

 

Walaupun mengakui pengurangan tempoh pemprosesan daripada 191 hari kepada kira-kira 60 hari sebagai perkembangan positif, beliau berkata sistem FWTA yang mula dilaksanakan pada 2025 masih dalam proses penambahbaikan.

 

"Industri tidak menentang FWTA. Kami menyokong sistem yang cekap, telus dan dipermudahkan.

 

"Bagaimanapun, majikan tidak seharusnya membiayai sepenuhnya sistem yang diwajibkan kerajaan dan turut menjalankan fungsi penting kerajaan, khususnya apabila sistem itu masih dalam proses penambahbaikan dan perniagaan sudah menanggung kos besar berkaitan pengambilan serta penggajian pekerja asing," katanya.

 

Beliau berkata industri juga masih berdepan cabaran ketara susulan proses kelulusan antara agensi yang berpecah-pecah, melibatkan pelbagai agensi negeri dan Persekutuan dengan prosedur operasi standard (SOP) berbeza serta cabaran operasi yang masih berterusan.

 

Katanya, setiap kos tambahan akan meningkatkan kos menjalankan perniagaan, sekali gus memberi kesan terhadap daya saing, pelaburan, pekerjaan dan kelangsungan perniagaan di seluruh rantaian bekalan.

 

"Permudahkan sistem terlebih dahulu. Buktikan kecekapannya. Kemudian justifikasikan kosnya," tegas Ting.

 

Beliau berkata pemain industri kekal bersedia bekerjasama dengan sistem FWTA, namun kerjasama itu perlu berasaskan keadilan, ketelusan, akauntabiliti dan nilai untuk wang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved