Perselisihan Isu Pinjaman Wang Dipercayai Punca Lelaki Patah Kaki Dilanggar Kereta Di Skudai, 3 Individu Ditahan Polis

31 Oct 2026 • 2:45 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Perselisihan Isu Pinjaman Wang Dipercayai Punca Lelaki Patah Kaki Dilanggar Kereta Di Skudai, 3 Individu Ditahan Polis

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Perselisihan faham berkaitan isu pinjaman wang dipercayai menjadi punca seorang lelaki dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor, semalam (30 Oktober).

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.38 petang hari sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati perselisihan faham berkaitan pinjaman wang antara kedua-dua pihak yang saling mengenali dipercayai mencetuskan pergaduhan sehingga membawa kepada kejadian berkenaan.

Mangsa patah kaki kanan, tiga individu ditahan

Susulan kejadian itu, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 35 tahun mengalami kecederaan patah kaki kanan.

Radin Ramlan berkata, polis telah menahan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain sedang giat mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terbabit.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.”

Mangsa stabil, kes disiasat mengikut dua Seksyen 147KK dan Seksyen 307KK

Tambah Radin lagi hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.”

Tegas beliau lagi, jika perbuatan tersebut menyebabkan kecederaan kepada mana-mana individu, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang dalam menyelesaikan sebarang perselisihan faham, selain tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.”

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan sebuah Proton Saga berwarna hitam mengundurkan kenderaan sebelum memecut dan melanggar seorang penunggang motosikal yang sudah terjatuh dalam keadaan sebelah kakinya terkulai di atas jalan.

Rakaman berdurasi 23 saat itu turut menunjukkan beberapa individu cuba menghalang pemandu terbabit daripada meninggalkan lokasi kejadian.

Baca artikel berkaitan:

Rakaman Proton Saga Langgar Penunggang Motosikal, Siap Sebut ‘Pergi Balai’ Undang Kecaman [Video]
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved