[VIDEO] Kes langgar penunggang motosikal rupa-rupanya berkaitan pinjaman wang

31 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Kes langgar penunggang motosikal rupa-rupanya berkaitan pinjaman wang

JOHOR BAHRU – Perselisihan faham berkaitan pinjaman wang bertukar ganas apabila seorang lelaki patah kaki kanan selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta dalam pergaduhan di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai, di sini semalam.

Insiden yang melibatkan beberapa individu itu turut tular di media sosial selepas rakaman kejadian dimuat naik oleh orang awam di Facebook.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.38 petang semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca akibat perselisihan faham berkaitan isu pinjaman wang antara mereka yang saling mengenali.

“Pergaduhan tercetus sehingga menyebabkan seorang lelaki berusia 35 tahun patah kaki kanan. Mangsa dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia 34 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan. Turut dirampas sebuah kereta Proton Saga.

Radin Ramlan berkata, pihaknya giat mengesan beberapa individu dipercayai turut terlibat dalam kejadian sama. Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

Rakaman pergaduhan yang dimuat naik pengguna Facebook, Khairul Blueblack itu turut mendapat perhatian ramai dengan 1,900 tanda suka, 698 komen dan 998 perkongsian.

Video berdurasi 23 saat itu memaparkan kereta Proton Saga melanggar seorang penunggang motosikal menyebabkan mangsa terjatuh sebelum cuba dilanggar pemandu kereta berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang bagi menyelesaikan perselisihan faham serta mengelak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.-KOSMO! ONLINE

The post [VIDEO] Kes langgar penunggang motosikal rupa-rupanya berkaitan pinjaman wang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved