Persembahan kreatif 8 kontinjen serlah kemeriahan perasmian KIESTA UPSI

Sports
9 May 2026 • 6:30 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Persembahan kreatif 8 kontinjen serlah kemeriahan perasmian KIESTA UPSI
Kontinjen Rahman Talib bergambar kenangan bersama barisan pengurusan tertinggi universiti pada sesi penyampaian hadiah kemenangan sempena Majlis Perasmian KIESTA 2026 di Padang Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Photo credit: Hasniza UPSI

TANJONG MALIM — Majlis Perasmian Karnival Sukan Staf (KIESTA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung meriah dengan persembahan kreatif dan penuh warna daripada lapan kontinjen yang berjaya mencuri tumpuan warga universiti di padang kampus, di sini.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kemeriahan persembahan yang dipersembahkan jelas menggambarkan semangat kebersamaan warga universiti tanpa mengira pangkat dan latar belakang.

“Daripada Zombie Kampung Pisang, cerita Mat Kilau, Kuda Kepang, semua ada, nampak biasa-biasa, tetapi ini menunjukkan bahawa semangat kita bersatu, bersama-sama tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di Padang Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, hari ini.

Beliau turut memuji komitmen setiap kontinjen yang sanggup menjalani latihan selama berminggu-minggu bagi memastikan persembahan terbaik dapat dipersembahkan pada malam perasmian.

“Latihannya saya perhatikan berminggu-minggu dilaksanakan, walaupun masih ada kekurangan, tetapi inilah KIESTA, kita meraikan perbezaan dan menghargai kehebatan serta kekurangan kita.

Kemeriahan majlis jelas terserlah apabila setiap kontinjen tampil dengan konsep tersendiri yang kreatif, sekali gus mencetuskan suasana penuh sorakan dan keterujaan dalam kalangan penonton.

Dalam pertandingan persembahan tersebut, kontinjen Rahman Talib muncul sebagai johan dengan kutipan 93 markah, diikuti kontinjen Kapten Yazid di tempat kedua dengan 91 markah, manakala tempat ketiga disandang oleh kontinjen Ahmad Bakhtiar dengan 88 markah.

Dr. Md Amin berkata penganjuran KIESTA bukan sekadar platform sukan, sebaliknya medium penting dalam membina jati diri, semangat kekeluargaan dan kecemerlangan dalam kalangan warga universiti.

“Bersukan bukan hanya untuk mencapai kemenangan, tetapi yang paling penting adalah untuk membentuk jati diri, jiwa keinsanan, jiwa kekeluargaan dan jiwa kecemerlangan,” katanya.

Dalam pada itu, KIESTA 2026 akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama pada 4 hingga 9, serta 19 dan 20 Mei melibatkan 10 jenis sukan, manakala fasa kedua pada 11 hingga 14 Oktober bersempena Hari Sukan Negara, turut melibatkan 10 jenis sukan.

Sebanyak 20 jenis sukan dipertandingkan yang merangkumi pelbagai kategori dan sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk sukan seperti dam haji dan karom yang menjadi pilihan golongan veteran.

Dr. Md Amin berkata perancangan rapi dan persediaan pasukan yang bermula sejak 2024 diyakini mampu meningkatkan pencapaian UPSI dalam Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2026.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan KIESTA 2026 menjadi platform persediaan penting bagi menghadapi SUKUM dengan sasaran untuk mencapai kedudukan lima terbaik.

“UPSI menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik berikutan memiliki ramai atlet berprestasi tinggi dalam pelbagai acara seperti strongman, berbasikal dan golf, sekali gus meningkatkan keyakinan universiti untuk mencapai sasaran tersebut,” ujar beliau.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.