amree21/08/2026 - 16:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos — Pertambahan ketara dalam aktiviti pinjaman pajak gadai menjadi nadi utama memacu pertumbuhan luar biasa Evergreen Max Cash Capital Berhad (EMCC) pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26).
Keadaan itu melonjakkan hasil kira-kira 21.94%, dengan pengendali rangkaian kedai pajak gadai 'Pajaking' ini berjaya menukar permintaan tunai tinggi dalam kalangan masyarakat kepada pertumbuhan kukuh, walaupun perlu mengimbangi cabaran kos pembiayaan dan turun naik pasaran emas runcit.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, berdasarkan laporan prestasi kewangan berakhir 30 Jun 2026, EMCC mencatatkan hasil RM59.49 juta, meningkat berbanding RM48.79 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Kejayaan ini membuktikan kebergantungan masyarakat terhadap perkhidmatan pajak gadai sebagai alternatif pembiayaan mikro yang cepat dan mudah ketika mendepani ketidaktentuan ekonomi semasa," jelas EMCC.
Pertumbuhan hasil ini turut diterjemahkan kepada keuntungan bersih yang kukuh apabila keuntungan selepas cukai (PAT) bagi 2QFY26 melonjak kepada RM13.87 juta, berbanding RM9.27 juta dicatatkan pada suku kedua tahun lalu, mencerminkan kecekapan kumpulan menguruskan portfolio pinjaman.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 Jun 2026, EMCC mempamerkan prestasi cemerlang dengan hasil terkumpul melonjak 34.22% kepada RM127.08 juta berbanding RM94.68 juta sebelum ini.

Untung bersih keseluruhan bagi tempoh separuh pertama 2026 pula mencatatkan pertumbuhan luar biasa kira-kira 69.41% untuk mencecah sebanyak RM27.58 juta berbanding RM16.28 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Mengulas lanjut prestasi segmen, perniagaan pajak gadai konvensional menyumbangkan peningkatan hasil sebanyak RM4.28 juta atau 32.52%, disokong secara langsung oleh pengeluaran pinjaman pajak gadai konvensional yang lebih tinggi iaitu RM23.76 juta atau 14.12% sepanjang suku tahun dikaji.
"Selain segmen konvensional, segmen produk Tawarruq (pajak gadai Islam) mencatatkan pertumbuhan luar biasa dengan sumbangan hasil melonjak RM8.90 juta atau 167.72%, didorong oleh pengeluaran pinjaman berkembang pesat RM135.72 juta atau 160.76% berbanding suku kedua tahun lalu," katanya.
Bagaimanapun, EMCC tidak terlepas daripada cabaran apabila segmen runcit dan perdagangan emas serta barangan mewah menyusut RM2.48 juta atau 8.16% akibat kemerosotan jualan emas terpakai. Namun, kemerosotan ini berjaya diimbangi oleh trend kenaikan harga emas dunia yang melonjak pada suku kedua 2026.
Dari sudut isu kewangan, aktiviti pengeluaran pinjaman yang agresif ini menuntut kos pembiayaan yang lebih tinggi buat kumpulan, dengan meningkat kepada RM5.53 juta daripada RM2.35 juta pada suku kedua tahun lalu, disebabkan oleh penggunaan kemudahan kredit pusingan yang kini membentuk bahagian terbesar iaitu RM335.20 juta daripada jumlah keseluruhan RM393.71 juta.
Kumpulan juga perlu mengemudi faktor bermusim industri pajak gadai, dengan penebusan barangan biasanya meningkat tinggi sebelum musim perayaan seperti Hari Raya. Sebaliknya, permintaan terhadap pinjaman pajak gadai hanya akan kembali meningkat selepas musim perayaan tersebut berlalu.
"Melihat kepada prospek masa hadapan, EMCC kekal optimis dengan komitmen memperluaskan rangkaian cawangan Pajaking dan Ar-Rahnu Cahaya yang kini merangkumi 29 cawangan konvensional dan 73 cawangan Islam," katanya.
Bagi meningkatkan profil korporatnya, EMCC juga sudah mengumumkan cadangan untuk memindahkan penyenaraiannya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Julai 2026.
Sebagai tanda penghargaan kepada pemegang saham, EMCC mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.60 sen sesaham dengan jumlah keseluruhan RM6.75 juta yang dijadualkan bermula 25 September 2026. - DagangNews.com




