sarah16/10/2026 - 10:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt - Pertikaian undang-undang antara Infomina Berhad dan Bank of the Philippine Islands (BPI) masih menjadi risiko kepada syarikat teknologi itu, dengan kira-kira RM66 juta hingga RM67 juta penghutang perdagangan berkaitan kes berkenaan belum diselesaikan, meskipun prospek pertumbuhan perniagaan serantaunya kekal positif.
Kenanga Research berkata, jumlah itu mewakili sekitar 45% hingga 46% daripada keseluruhan penghutang perdagangan Infomina sebanyak RM145.7 juta setakat akhir Ogos 2026, dengan penyelesaian kes berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan.
Menurut firma penyelidikan itu, pengurusan Infomina kekal yakin terhadap peluang memperoleh keputusan yang memihak kepada syarikat berdasarkan bukti dokumentasi dan nasihat perundangan. Kes berkenaan masih pada peringkat penandaan awal bukti dokumen, dengan sesi lanjut dijadualkan pada Oktober 2026, Januari dan Februari 2027 sebelum kemungkinan prosiding perbicaraan.
Selain pertikaian BPI, Kenanga Research turut mengenal pasti risiko sekiranya perjanjian pengedaran dengan Broadcom tidak diperbaharui atau ditamatkan, selain kemungkinan peningkatan kos projek. Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'Outperform' terhadap Infomina dan menaikkan harga sasaran saham kepada RM2.40 daripada RM1.90, disokong prospek pertumbuhan di Jepun, Australia dan New Zealand.
Kenanga Research berkata, peluasan mandat pengedaran perisian Broadcom membuka peluang pendapatan tahunan sehingga RM130 juta kepada Infomina, merangkumi RM80 juta di Jepun serta RM50 juta di Australia dan New Zealand. Peluang itu dijangka menyokong pertumbuhan kumpulan bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028, selain potensi pengembangan dalam perniagaan perisian bukan kerangka utama (non-mainframe), kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
Sementara itu, AmInvestment Bank turut mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Infomina dengan menaikkan harga sasaran kepada RM2.25 daripada RM1.85, selepas mengambil kira peluasan operasi syarikat ke empat pasaran baharu, iaitu Australia, New Zealand, Korea Selatan dan India.
AmInvestment Bank menjelaskan, perkembangan itu mendorong pihaknya meningkatkan unjuran keuntungan Infomina bagi tahun kewangan 2028 dan 2029 masing-masing sebanyak 17% dan 22%, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan bagi tempoh 2026 hingga 2029 dijangka meningkat kepada 20% berbanding 13% sebelum ini.
Dari segi prestasi kewangan, keuntungan teras Infomina meningkat 33.5% kepada RM10.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027, manakala hasil melonjak 39.5% kepada RM76.2 juta. Buku tempahan syarikat turut meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada RM614 juta, disokong kontrak baharu daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM20 juta, sebuah institusi kewangan tempatan (RM62 juta) dan Panasonic di Jepun (RM22 juta).
Kenanga Research menambah, perniagaan pembaharuan kontrak kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil meningkat 32.8% kepada RM58.3 juta atau 77% daripada jumlah hasil kumpulan, manakala margin keuntungan kasar segmen itu meningkat kepada 32.4% berbanding 29% setahun sebelumnya. Infomina juga mempunyai peluang tender sekitar RM1.6 bilion yang berpotensi menyokong pertumbuhan pendapatan pada masa depan.
Dalam pada itu, kedua-dua firma penyelidikan melihat peluang pertumbuhan tambahan menerusi pengembangan perniagaan AI, analitik data dan keselamatan siber, termasuk pengambilalihan 51% kepentingan dalam Blue Fortress bernilai RM25.5 juta. Kenanga turut menaikkan unjuran keuntungan bersih Infomina bagi tahun kewangan 2028 sebanyak 13.7% kepada RM58 juta, manakala AmInvestment Bank mengunjurkan keuntungan teras RM56 juta bagi tempoh sama, mencerminkan prospek pertumbuhan yang positif meskipun risiko perundangan dan pelaksanaan perniagaan masih wujud. - DagangNews.com






