Pertikaian SilTerra selesai, DNeX berpotensi nikmati penilaian semula - TA Research

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 10:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertikaian SilTerra selesai, DNeX berpotensi nikmati penilaian semula - TA Research Image from: Pertikaian SilTerra selesai, DNeX berpotensi nikmati penilaian semula - TA Research hamden09/10/2026 - 10:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt - Dagang NeXchange Bhd (DNeX) berpotensi menikmati penilaian semula saham lebih tinggi apabila prospek pertumbuhan pengeluar semikonduktornya, SilTerra Malaysia Sdn Bhd, semakin diperkukuh oleh permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), pemulihan industri minyak dan gas serta peningkatan hasil digital berulang kumpulan.

 

TA Research berpandangan penilaian semasa DNeX masih belum mencerminkan sepenuhnya potensi pertumbuhan tersebut, meskipun harga sahamnya mencatat kenaikan baru-baru ini.

 

Pada masa sama, katanya, penyelesaian pertikaian undang-undang antara DNeX dan CGP Fund (CGP) berkaitan kepentingan mereka dalam SilTerra menghapuskan satu daripada ketidaktentuan utama yang membebani sentimen pelabur sejak 2022.

 

Susulan perkembangan itu, firma penyelidikan berkenaan menaikkan harga sasaran DNeX kepada RM0.73 daripada RM0.66, berdasarkan kaedah jumlah bahagian (SOTP), termasuk premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%.

 

"Saranan BELI dikekalkan, manakala unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 (FY26 hingga FY28) tidak berubah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, saham DNeX kini didagangkan pada gandaan harga kepada pendapatan (P/E) unjuran FY27 sebanyak 13.5 kali, yang disifatkan masih belum mengambil kira sepenuhnya peluang pertumbuhan daripada perniagaan semikonduktor dan sumber pendapatan kumpulan yang lain.

 

Pertikaian selesai, fokus beralih kepada pertumbuhan SilTerra

DNeX dan CGP mencapai penyelesaian menyeluruh bagi menamatkan semua litigasi dan prosiding timbang tara yang masih tertunggak berkaitan kepentingan mereka dalam SilTerra.

 

Penyelesaian itu dicapai secara baik atas dasar persetujuan bersama tanpa pengakuan liabiliti atau pembayaran pampasan kewangan, selain pembayaran balik kos perundangan tertentu antara kedua-dua pihak.

 

Pertikaian berkenaan bermula pada 2022 susulan cadangan pelaburan dalam DNeX Semiconductor serta perselisihan mengenai pelantikan ahli lembaga pengarah SilTerra.

 

Penyelesaian itu tidak mengubah struktur pemilikan saham langsung SilTerra, dengan DNeX Semiconductor memegang 60%, manakala kenderaan pelaburan CGP memiliki baki 40%.

 

Kedua-dua pemegang saham turut mengesahkan komitmen untuk menyokong fasa pertumbuhan SilTerra seterusnya, termasuk melalui suntikan modal tambahan jika diperlukan, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

 

TA Research berkata perkembangan terbaharu itu memberikan kejelasan lebih besar mengenai pemilikan dan tadbir urus SilTerra, selain membolehkan pihak pengurusan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada prestasi operasi serta peluasan perniagaan.

 

Pasaran fotonik silikon dijangka berkembang pesat

Selain penyelesaian pertikaian, prospek pertumbuhan SilTerra turut disokong oleh peluang dalam perniagaan fotonik silikon, yang berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan berkaitan AI dan pusat data.

 

Menurut MarketsandMarkets, pasaran fotonik silikon global bernilai AS$2.2 bilion pada 2024 dan diunjurkan meningkat kepada AS$9.7 bilion menjelang 2030, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 29.5% bagi tempoh 2025 hingga 2030.

 

Firma penyelidikan itu percaya kesepakatan yang lebih kukuh antara DNeX dan CGP dapat memberikan kepastian kepada pelanggan dan pelabur, selain menyokong pembangunan teknologi, peluasan kapasiti serta pelaksanaan rancangan pertumbuhan SilTerra.

 

Kesediaan kedua-dua pemegang saham untuk menyediakan suntikan modal tambahan jika diperlukan turut mencerminkan komitmen mereka terhadap perniagaan itu dan peluang pertumbuhan yang muncul daripada kitaran pelaburan AI. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved