Pertuduhan warga Bangladesh bunuh rakan ditangguh esok

12 Aug 2026 • 1:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pertuduhan warga Bangladesh bunuh rakan ditangguh esok

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga lelaki senegara di Linggi, Port Dickson, pada 3 Ogos lalu.

Tertuduh, Md. Idris Ali, 43, hanya menangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh Md. Nazrul Islam, 44, di lorong belakang sebuah rumah di Taman Linggi, Port Dickson, antara pukul 4 petang hingga 4.15 petang pada 3 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa membunuh Mohasin, awal 40-an dan Kiron Miah, 52, di sebuah ladang sawit di Sua Manggis, Linggi, Port Dickson, antara pukul 3.30 petang hingga 3.45 petang pada hari sama.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh juga dihukum dengan sebatan yang tidak melebihi 12 sebatan jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun Nurul Saqinah kemudian memberitahu tertuduh bahawa walaupun dia mendakwa memahami pertuduhan berkenaan, mahkamah berpendapat dia masih memerlukan khidmat jurubahasa.

“Kesemua tiga-tiga pertuduhan dibacakan ke atas Orang Kena Tuduh. Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian mahkamah, tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan.

“Oleh itu, mahkamah menetapkan satu tarikh bagi kehadiran jurubahasa asing untuk pertuduhan dibacakan semula ke atas tertuduh dalam bahasa yang difahami, dengan tarikh ditetapkan pada 13 Ogos (esok),” katanya.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki warga Bangladesh, Md. Kajal Mondol, 20, pada hari sama.

Hakim Tasnim Abu Bakar turut menetapkan hari esok sebagai sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa Bangladesh serta tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah.

Sebelum ini, media melaporkan pergaduhan membabitkan sekumpulan buruh ladang warga Bangladesh di Taman Linggi, Port Dickson, pada 3 Ogos lalu berakhir tragedi apabila tiga lelaki ditemukan maut, manakala seorang lagi cedera.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga Bangladesh termasuk suspek dan ketiga-tiga mangsa yang merupakan rakan sekerja. –UTUSAN

 

The post Pertuduhan warga Bangladesh bunuh rakan ditangguh esok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved