Pertumbuhan eksport Malaysia dianggar antara 2% hingga 3.1% pada 2025 - penganalisis

LocalBusiness & Finance
23 Jun 2025 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan eksport Malaysia dianggar antara 2% hingga 3.1% pada 2025 - penganalisis

image is not available

23/06/2025 - 10:20

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Penganalisis meramalkan pertumbuhan eksport Malaysia menjadi sederhana antara 2% hingga 3.1% tahun ini, mencerminkan unjuran berhati-hati berikutan ketidaktentuan perdagangan yang berterusan.

MIDF Research menjangkakan pertumbuhan eksport akan perlahan kepada 2% pada 2025, manakala pertumbuhan import dijangka mereda kepada 4.5%.

Firma penyelidikan itu berkata, dalam jangka pendek, kesan positif daripada aktiviti penyimpanan awal semasa penggantungan tarif selama 90 hari terhadap eksport mungkin lebih lemah daripada jangkaan awal.

"Walaupun ketegangan perdagangan antara AS dan China telah reda, landskap perdagangan keseluruhan masih tidak menentu, dengan ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat memberikan satu lagi lapisan risiko.

"Begitu juga, hasil rundingan perdagangan Malaysia dengan AS masih belum jelas. Namun, sekiranya Malaysia berjaya memperoleh kadar tarif di bawah 10% untuk sektor strategik, terutamanya elektrik dan elektronik (E&E), ia boleh memberikan kelegaan tambahan terhadap cabaran perdagangan luar yang sedang dihadapi," katanya dalam satu nota kajian.

Sementara itu, MIDF Research memberi amaran, kemungkinan peningkatan tarif dan permintaan yang lebih lemah daripada rakan dagang utama kekal sebagai risiko menurun terhadap unjuran perdagangan Malaysia.

“Sementara itu, kami menjangkakan pertumbuhan import yang berterusan akibat aktiviti penyimpanan awal akan mengecilkan lebihan dagangan secara sementara.

“Dari sudut positif, pengembangan perdagangan dua hala dan usaha pengalihan tumpuan daripada kebergantungan kepada pasaran AS mungkin dapat membantu mengurangkan kesan tarif,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Research menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport Malaysia bagi tahun 2025 kepada 3.1%, berbanding unjuran terdahulu sebanyak 5%.

Semakan itu dibuat berikutan jangkaan prestasi yang lebih lemah pada separuh kedua 2025, walaupun mencatatkan prestasi kukuh pada bulan April.

Firma penyelidikan itu turut memaklumkan, pertumbuhan eksport meningkat kepada 7.3% dalam empat bulan pertama tahun ini, berbanding 4.4% bagi tempoh Januari hingga Mac. - DagangNews.com

standard