amree10/08/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – SLP Resources Berhad dijangka masih lagi mampu untuk meneruskan momentum pertumbuhan kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), menurut analisis Kenanga.
Firma penyelidikan itu menambah, kumpulan tersebut tidak terkesan dengan permintaan terhadap produk pembungkusan plastik di pasaran tempatan yang lemah akibat persaingan domestik secara berterusan.
Kenaikan harga resin berbanding 2025 dijangka membolehkannya menaikkan harga jualan produk, sekali gus menyokong peningkatan keuntungan dalam nilai mutlak meskipun margin kos tambah kekal stabil.
"Margin keuntungan SLP Reources juga dijangka terus mendapat manfaat untuk tempoh satu atau dua suku lagi menerusi penggunaan inventori berkos lebih rendah yang dibeli lebih awal," kata Kenanga.
Ujarnya, proses pemulihan sentimen pasaran antarabangsa juga boleh menjadi pemangkin kepada sektor pembungkusan selepas industri tersebut mencatatkan asas perbandingan yang amat rendah pada FY25.
Selain itu, ia menjangkakan kadar nilai ringgit yang stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mengehadkan kesan negatif daripada terjemahan pertukaran mata wang asing (forex) berbanding FY25.

Sehubungan itu, Kenanga mengunjurkan SLP Resources berkemungkinan tidak akan mengalami sebarang kesan negatif terjemahan pertukaran asing sepanjang FY26 seperti yang pernah dihadapinya pada FY25.
"Kami juga menjangka harga purata minyak mentah Brent iaitu AS$80 (RM327) setong pada 2026, sambil berpandangan harga komoditi itu sukar kembali ke paras sebelum konflik walaupun reda," katanya.
Bagaimanapun, kedudukan tunai kumpulan yang kukuh dan sumber bekalan resin yang dipelbagaikan dari seluruh dunia dijangka memastikan kumpulan itu mempunyai bekalan bahan mentah yang mencukupi.
Jelas Kenanga, satu lagi pemangkin penting SLP Resources ialah pembangunan berterusan komponen dan peranti berkaitan perubatan untuk beberapa pelanggan dengan margin lebih tinggi daripada purata.
Jepun pula dijangka kekal pasaran eksport terbesar, menjana lebih 40% daripada jualan pembungkusan plastik kumpulan, sekali gus menjadi antara penyokong utama kepada pertumbuhan pendapatannya.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) 90 sen sesaham, disokong manfaat daripada harga jualan lebih tinggi, dan pengurusan bekalan resin yang baik.- DagangNews.com





