
KUALA LUMPUR – Identiti tiga beranak yang maut selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi sudah dikenal pasti.
Mereka ialah pesara tentera, Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlim, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa mengesahkan identiti mangsa dan memaklumkan keluarga berkenaan berasal dari Kampar, Perak.
Isteri Shaik Mohd. Firdaus, Norhayati Razali, 55, yang turut menjadi mangsa dalam kejadian itu kini menerima rawatan di unit rawatan rapi.
Seorang lagi anak pasangan berkenaan, Siti Nor Shakira, 28, tidak terlibat dalam kemalangan itu selepas tidak mengikuti keluarganya bercuti di ibu negara.
Difahamkan, ketiga-tiga jenazah akan dibawa pulang ke Kampar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu selepas proses bedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) selesai.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau turut dilihat hadir di IPFN bagi bertemu ahli keluarga mangsa, manakala beberapa saudara-mara dan kenalan keluarga berkenaan turut berada di pekarangan institut itu.
Terdahulu, tiga sekeluarga itu maut selepas dirempuh lori Isuzu Black Maria milik JIM dalam kemalangan kira-kira pukul 1 pagi.
Siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga.
Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan.
Pemandu lori JIM dan pemandu Proton Saga ditahan bagi membantu siasatan dengan ujian pernafasan alkohol serta saringan awal air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Pesara tentera, isteri dan anak mangsa rempuhan lori imigresen appeared first on Kosmo Digital.






