Petanda kerosakan moral politik

LocalPolitics
7 May 2026 • 4:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Petanda kerosakan moral politik
Gambar hiasan
Image from: Petanda kerosakan moral politik
Khairun Nizam Mohammad Yusuff

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah pun menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.

Tetapi malangnya masih ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) begitu berani membangkitkan semula perkara itu dan menyebabkan sidang DUN Selangor yang melabuhkan tirai minggu lalu berubah menjadi pentas sarkas yang memualkan.

Tatkala rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang menghimpit dada, para politikus di dalam dewan nampaknya lebih gemar bermain dengan api sentimen.

Tindakan Speaker DUN pula secara terang-terangan bertindak sebagai perisai politik bagi melindungi ADUN Seri Kembangan daripada dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bukan sekadar isu teknikal peraturan mesyuarat.

Ia adalah satu penghinaan terbuka terhadap kecerdikan rakyat dan, yang lebih parah, satu cubaan berani mati untuk membelakangkan titah Sultan Selangor.

Sejak bila Speaker DUN bertukar fungsi daripada seorang pengadil yang adil kepada seorang ’bouncer’ politik yang tugasnya hanya untuk menghalang sebarang usul yang mampu mendedahkan borok rakan sekutu?

Tindakan menghalang ADUN Taman Medan, Dr. Hafifi, daripada membawa isu integriti ini ke hadapan bukan sahaja menunjukkan ketidakmatangan, tetapi satu bentuk intimidasi birokrasi yang sangat berbahaya.

Apabila peraturan dewan digunakan untuk menutup mulut kebenaran demi menjaga air muka blok politik tertentu, maka wibawa dewan itu sendiri sudah mati.

Mengapa isu ladang babi ini tiba-tiba menjadi ’nyawa’ yang perlu dipertahankan habis-habisan oleh DAP?

Jawapannya tidak terletak di Seri Kembangan, tetapi di Sabah. Isyarat jelas daripada PRN Sabah di mana pengundi Cina secara besar-besaran menolak DAP. Dan ini telah mencetuskan panik luar biasa dalam bilik gerakan mereka.

Mereka sedang ketakutan. Mereka sedar bahawa naratif "DAP pejuang masyarakat Cina" kian luntur apabila mereka dilihat terlalu selesa di kerusi empuk kuasa.

Maka, isu ladang babi ditarik keluar dari stor lama, digosok sehingga berkilat, dan dijadikan modal untuk membuktikan mereka masih mempunyai taring.

Lihat sahaja bagaimana media berbahasa Mandarin dan portal pro-DAP beraksi sejak beberapa minggu lalu. Skrip mereka sangat tersusun.

Mereka tidak bercakap tentang kederhakaan atau sensitiviti kaum. Sebaliknya, mereka membungkus isu ini dengan istilah-istilah murni seperti ’sekuriti makanan,’ ’teknologi moden,’ dan ’hak ekonomi.’

Mereka sedang menjalankan operasi peperangan saraf untuk meyakinkan masyarakat Cina bahawa sesiapa yang menentang projek ini adalah musuh kemajuan.

Naratif ’hero’ sedang dibina untuk ADUN Seri Kembangan, kononnya beliau adalah pejuang yang dizalimi demi membela nasib penternak dan pengguna.

Inilah taktik political victimization yang paling kotor. Mereka sengaja mencetuskan kontroversi, kemudian apabila ditegur oleh pihak berkuasa atau diingatkan tentang titah Sultan, mereka segera memakai baju mangsa.

Mereka mahu rakyat percaya bahawa mereka sedang ditekan oleh sistem yang tidak adil. Siapa sebenarnya yang tidak adil di sini? Adakah adil apabila seorang wakil rakyat dengan sengaja mencabar garis merah yang telah ditetapkan oleh Istana?

Sultan Selangor telah memberikan titah yang sangat jelas. Baginda meletakkan noktah kepada perbalahan ini demi keharmonian negeri.

Namun, bagi DAP, titah itu nampaknya hanyalah halangan kecil dalam kempen pilihan raya mereka.

Keberanian membuta tuli ini adalah satu petanda kerosakan moral politik yang amat dahsyat.

Membelakangkan titah Sultan demi memancing undi adalah satu bentuk perjudian yang tidak akan ada pemenangnya.

Mereka menyangka dengan memainkan sentimen hak kaum melalui isu penternakan babi, mereka akan kembali dipuja oleh pengundi bandar.

Tetapi mereka lupa, rakyat Selangor termasuklah pengundi Cina yang matang, lebih menghargai kestabilan dan rasa hormat terhadap institusi kedaulatan negeri.

Tindakan Speaker yang cuba membuka kembali kunci perdebatan yang telah dimuktamadkan oleh Sultan hanya menunjukkan betapa terdesaknya mereka untuk kekal relevan dalam politik.

Jangan sesekali menyangka bahawa rakyat tidak nampak talam dua muka yang sedang dimainkan.

Di satu pihak, mereka melaungkan slogan "Malaysia Madani" dan perpaduan, tetapi di pihak lain, mereka membiarkan jentera media mereka meniup api kemarahan terhadap institusi yang menjadi tonggak perpaduan itu sendiri.

Jika benar mahu memperjuangkan sekuriti makanan, carilah jalan diplomatik yang menghormati sensitiviti majoriti dan kedaulatan Raja. Bukan dengan cara ’langgar lari’ di dalam dewan yang mulia.

Ini adalah amaran buat mereka yang sedang asyik dengan candu heroisme murahan. Jangan sampai anda disambar oleh api yang anda nyalakan sendiri.

Pengundi Melayu sedang memerhati dengan penuh rasa meluat terhadap sikap yang dianggap besar kepala ini.

Istana bukanlah satu institusi yang boleh dijadikan bahan eksperimen politik untuk melihat sejauh mana ’garis merah’ boleh ditolak.

Kedaulatan Sultan adalah benteng terakhir keharmonian di Selangor. Sesiapa yang cuba meruntuhkan benteng itu demi segenggam undi, sebenarnya sedang menempah tiket untuk dihumban keluar oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang.

**media[3513538]**

Hentikanlah drama mangsa politik ini. Rakyat sudah muak dengan politikus yang hanya tahu membela kepentingan kelompok sendiri sambil memperlekehkan konsensus nasional.

Jika anda mahu terus berkhidmat di Selangor, belajarlah untuk tunduk kepada adab dan tatasusila yang telah lama memayungi negeri ini.

Politik yang matang adalah politik yang tahu menghormati kedaulatan, bukannya politik yang sibuk menyondol sensitiviti demi kelangsungan kuasa yang semakin hari semakin pudar.

Jangan sampai nasi menjadi bubur, dan jangan sampai ’babi’ menjadi punca keruntuhan maruah politik sendiri. - Habis

*Dr Khairun Nizam Mohammad Yusuff merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam