
PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 6 September dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah
setelah permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Peguam bela kepada bekas menteri itu, Datuk Hamidi Mohd. Noh berkata, anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Anak guam sentiasa beri kerjasama dan akan beri kerjasama penuh,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, bekas menteri berusia lingkungan 60-an itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.25 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga berlogo SPRM serta tangan bergari sebelum dibawa masuk oleh pegawai agensi berkenaan.
Beliau ditahan kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Sebelum ini, SPRM turut menahan reman bekas pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) bagi membantu siasatan berkaitan isu sama.
Pada 14 Ogos lalu, tujuh individu termasuk seorang wanita terdiri daripada seorang CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH turut ditahan SPRM bagi membantu siasatan.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan terdahulu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan RCI yang menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan beberapa pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
RCI berkenaan turut mendapati wujud transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat. – UTUSAN
The post RCI TH: Bekas menteri direman lima hari appeared first on Utusan Malaysia.






