Petra Energy, Mintred perkukuh pembangunan vendor minyak dan gas Sarawak

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 11:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Petra Energy, Mintred perkukuh pembangunan vendor minyak dan gas Sarawak Image from: Petra Energy, Mintred perkukuh pembangunan vendor minyak dan gas Sarawak hamden24/11/2026 - 11:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Petra Energy Bhd mempergiat usaha membangunkan keupayaan syarikat tempatan di Sarawak menerusi program pembangunan kapasiti dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (Mintred), bagi memperkukuh penyertaan vendor tempatan dalam industri minyak dan gas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra Energy, Datuk Anthony Bujang berkata, inisiatif itu bertujuan menyediakan sokongan lebih konkrit kepada perusahaan tempatan untuk meningkatkan keupayaan, membina rekod prestasi serta mengambil bahagian dalam peluang perniagaan industri secara lebih meluas.

 

Beliau berkata, Petra Energy telah melaksanakan pembangunan vendor sejak 2012, selain menyediakan inisiatif pembangunan tenaga kerja seperti Program Jurutera Laluan Pantas (Fast Track Engineer Programme) untuk graduan kejuruteraan muda serta kerjasama dengan CENTEXS bagi latihan kemahiran teknikal jurukimpal.

 

"Usaha memperluas peluang kepada syarikat tempatan turut disokong menerusi projek perkhidmatan pengurusan operasi lapangan bagi aset SK407 di luar pesisir Miri, apabila Petra Energy dilantik menyediakan perkhidmatan operasi dan pengurusan untuk Vestigo.

 

"Projek itu membuka peluang kepada syarikat berkenaan untuk melibatkan lebih banyak vendor Sarawak dalam pelaksanaan kerja serta membolehkan mereka membina pengalaman industri," katanya dalam ucapan pembukaan pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Kapasiti Sarawak dan Pengiktirafan Vendor semalam.

 

Anthony berkata, Petra Energy berharap dapat terus membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan keupayaan dan membuktikan kebolehan masing-masing, selaras dengan hasrat memperkukuh ekosistem perniagaan Sarawak serta meningkatkan penyertaan perusahaan tempatan dalam industri minyak dan gas.

 

Beliau menambah, perjalanan Petra Energy sendiri bermula di Miri pada 1988 dan dibentuk menerusi Program Pembangunan Vendor (VDP) Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), yang memainkan peranan penting dalam memupuk perkembangan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas Malaysia.

 

Beliau berkata, program itu membolehkan generasi perniagaan tempatan membina keupayaan masing-masing dan secara berperingkat mengambil peranan lebih besar dalam industri berkenaan.

 

Berdasarkan pengalaman Petra Energy, beliau berkata, perniagaan berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan, kemunduran serta tekanan untuk kekal mampan dan menguntungkan ketika membina rekod prestasi serta mendapatkan kepercayaan industri.

 

"Kami tahu membina sesebuah perniagaan memerlukan daya tahan, kesabaran dan kadangkala hanya peluang untuk seseorang mempercayai kemampuan anda," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved