hamden17/09/2026 - 09:17 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept – Petronas Gas Bhd (PETGAS) telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur bagi mendapatkan kelulusan untuk cadangan penyusunan semula dalaman syarikat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata permohonan itu termasuk kelulusan skim pengaturan serta pemindahan dan/atau peletakhakan tiga segmen perniagaan terasnya kepada entiti berasingan.
Dokumen mahkamah berkenaan telah difailkan pada 15 September 2026, susulan kelulusan pemegang saham terhadap skim pengaturan pada mesyuarat yang diadakan oleh mahkamah pada 12 Februari 2026.
Di bawah cadangan penyusunan semula itu, perniagaan pemprosesan gas akan dipindahkan kepada PG Gas Processing Sdn Bhd.
Sementara itu, perniagaan pengangkutan gas akan ditempatkan di bawah PG Transco Sdn Bhd, manakala perniagaan utiliti akan dipindahkan kepada PG Utilities East Sdn Bhd.
Petronas Gas berkata cadangan penyusunan semula dalaman itu dilaksanakan menurut Seksyen 366 dan 370 Akta Syarikat 2016.
Syarikat telah meneruskan proses penstrukturan semula dalaman itu sejak ia pertama kali diumumkan pada Oktober 2025.
Pemegang saham kemudiannya meluluskan skim pengaturan berkenaan pada awal tahun ini.
"Perkembangan selanjutnya berhubung cadangan penyusunan semula dalaman akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya. - DagangNews.com






