
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sedang meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti, menambah baik proses membuat keputusan dan mencipta nilai baharu.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Datin Arni Laily Anwarrudin berkata, antara persoalan yang terus diteliti Petronas adalah bagaimana AI boleh diterima secara bertanggungjawab tanpa mengetepikan pertimbangan manusia, selain memastikan ketulenan dan integriti kandungan terus terpelihara.
“Bagaimana kita melindungi ketulenan dan integriti dalam dunia apabila kandungan sintetik semakin canggih dan melengkapkan tenaga kerja dengan keupayaan yang diperlukan untuk berkembang maju bersama teknologi yang semakin berkembang?
“Ini adalah persoalan yang terus kami teliti dan nilai dalam organisasi kami sendiri,” katanya dalam ucapan pada Petronas-MPI Lunch Escape 2026 yang bertemakan Credibility in the Age of AI: Navigating the New Frontier di sini semalam.
Beliau berkata, Petronas percaya dialog terbuka, perspektif yang pelbagai dan pengalaman bersama adalah penting dalam membantu syarikat merangka hala tuju yang bertanggungjawab ke hadapan.
Ujarnya, AI bukan lagi teknologi masa depan, sebaliknya sudah mengubah cara maklumat dicipta, disebarkan, digunakan dan ditafsirkan.
“Perkembangan AI kini turut membentuk semula model operasi merentasi pelbagai industri, selain mempercepatkan proses membuat keputusan dan membuka peluang baharu untuk inovasi.
“Perubahan itu turut mentakrifkan semula sifat kepercayaan, khususnya dalam landskap komunikasi yang semakin pantas dan kompleks.
“Bagi organisasi media, AI mengubah cara sesuatu berita dikaji, dihasilkan dan disampaikan. Bagi syarikat pula, AI mempengaruhi cara kita berinteraksi dengan pihak berkepentingan, mengurus reputasi serta berkomunikasi dengan lebih pantas dan tepat.
“Bagi masyarakat secara keseluruhannya, ia menawarkan peluang yang belum pernah wujud sebelum ini, namun pada masa sama menghadirkan cabaran yang semakin kompleks,” jelasnya.
Beliau berkata, tema ‘Credibility in the Age of AI: Navigating the New Frontier’ tersebut dipilih kerana AI bukan lagi sekadar perkara yang perlu diberi perhatian pada masa hadapan.
Menurutnya, dalam persekitaran yang semakin dipengaruhi AI, kredibiliti bukan lagi sekadar mengenai sejauh mana sesuatu suara didengari, tetapi sejauh mana ia dipercayai.
“Petronas bukan berada di sini sebagai pihak berkuasa dalam bidang AI dan kami juga bukan di sini untuk menetapkan penyelesaian kepada golongan profesional media.
“Sebaliknya, kami hadir sebagai rakan seperjuangan yang turut berdepan dengan persoalan yang sama,” ujarnya. – UTUSAN
The post Petronas teroka penggunaan AI untuk tingkatkan produktivi appeared first on Utusan Malaysia.






