Petronas tidak urus jualan tiket F1 Sepang

28 Jul 2026 • 12:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Petronas tidak urus jualan tiket F1 Sepang

PETALING JAYA – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menegaskan pihaknya tidak menguruskan sebarang urusan penjualan atau pengagihan tiket bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Oktober depan.

Petronas dalam kenyataan berkata, syarikat itu bukan penganjur acara berkenaan dan tidak mempunyai sebarang kawalan atau akses terhadap peruntukan, penjualan serta pengedaran tiket.

“Penjualan tiket diuruskan sepenuhnya oleh penganjur acara melalui saluran-saluran yang dilantik,” katanya hari ini.

Menurut Petronas, pihaknya hanya memegang hak penamaan terhadap litar berkenaan dan bukannya pemilik SIC.

Katanya, litar tersebut dimiliki Sepang International Circuit Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), manakala operasinya dikendalikan sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Penjelasan itu dibuat susulan keterujaan orang ramai terhadap penganjuran perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober ini.

Petronas pada masa sama menghargai sambutan dan minat yang ditunjukkan orang ramai terhadap acara berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu mencerminkan kepercayaan dan keyakinan Bahrain, F1 serta Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) terhadap keupayaan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas berpeluang berbincang dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali. – KOSMO! ONLINE

The post Petronas tidak urus jualan tiket F1 Sepang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved