Umum mengetahui Malaysia telah dipilih bagi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 (F1). Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiga faktor Malaysia telah dipilih ialah aman, urusannya baik dan cekap, dan infrastruktur lebih baik.
Susulan daripada pengumuman mengenai perlumbaan F1 yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini, ramai yang tidak sabar mahu membeli tiketnya selepas sembilan tahun menanti ianya kembali.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tiada Kos Pendaftaran Dikenakan Untuk Penganjuran Formula 1 GP Bahrain Di Malaysia – Anwar Ibrahim
Petronas jelaskan tak terlibat urus penjualan tiket kerana bukan penganjur
Terbaharu Petronas tampil memaklumkan pihaknya tidak menguruskan, mengawal mahupun mempunyai akses ke atas peruntukan, penjualan atau mengedaran tiket bagi perlumbaan berkenaan.
Perkara itu disebabkan Petronas bukanlah penganjur bagi acara automobil berkenaan. Oleh itu, penjualan tiket bagi perlumbaan F1 itu diuruskan oleh pihak penganjur melalui saluran rasmi.
Litar dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd
Petronas dalam satu kenyataan turut memaklumkan litar di sepang itu dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC).
“Kami menghargai keterujaan orang ramai terhadap perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di SIC yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober depan.
“Walaupun syarikat memegang hak penamaan SIC, litar tersebut dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan dikendalikan oleh agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” jelas Petronas.
Kali terakhir Malaysia menganjurkan F1 adalah pada tahun 2017
Kali terakhir Malaysia terlibat dalam menganjurkan perlumbaan F1 adalah pada tahun 2017 dan telah terlibat dalam penganjurannya selama 19 tahun sejak 1999.
F1 Gulf Air Bahrai Grand Prix 2026 yang bakal berlangsung di SIC ini bakal menjadikan ia sebahagian daripada kalendar Kejuaraan Dunia Formula 1 dan dijangka menarik kehadiran peminat tempatan serta antarabangsa.







