hamden12/10/2026 - 15:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt - Pahang berhasrat menarik pembangunan hab pusat data bersepadu dan ekonomi digital di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas (KPTA), Pekan, menerusi kerjasama strategik antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS).
Hasrat itu menjadi antara tumpuan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak hari ini sebagai usaha mempergiat kemasukan pelaburan berkualiti ke Pahang, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan ekonomi digital.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerokaan pembangunan hab berkenaan berpotensi membentuk ekosistem digital bersepadu yang merangkumi telekomunikasi, tenaga, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan kejuruteraan, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan industri sokongan serta rantaian nilai tempatan.
"Usaha ini diharap dapat membuka peluang ekonomi baharu, menarik pelaburan berkualiti dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau menambah, melalui promosi bersama, pengenalpastian pelabur dan rakan strategik serta pemudahcaraan projek berpotensi, KPTA berpeluang menarik lebih banyak industri berimpak tinggi, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut meneruskan penyelarasan pelaksanaan inisiatif pembangunan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER Negeri Pahang.
Mesyuarat itu bertujuan memastikan setiap perancangan pembangunan dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat.
"Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak serta memanfaatkan peluang pelaburan bagi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjamin kemakmuran Pahang," katanya. - DagangNews.com






