sarah19/10/2026 - 13:03 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - Projek taman solar berkapasiti 36 megawatt puncak (MWp) di KLIA Aeropolis dijangka mengurangkan pelepasan karbon kira-kira 35,000 tan setahun, sekali gus menyokong usaha Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) mempercepat penggunaan tenaga bersih.
Projek KLIA Aeropolis Solar Park itu merupakan antara inisiatif utama dalam pelan penyahkarbonan Malaysia Airports, yang turut merangkumi peluasan penggunaan tenaga boleh baharu, peningkatan kecekapan tenaga terminal, sistem pencahayaan kawasan pergerakan pesawat serta elektrifikasi kenderaan sokongan darat secara berperingkat.
Inisiatif berkenaan diketengahkan ketika Malaysia Airports dan Malaysia Aviation Group (MAG) memperkukuh kerjasama bagi mempercepat usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam industri penerbangan negara, termasuk penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF), tenaga bersih dan pengurusan sumber yang lebih cekap.
Kerjasama itu dibincangkan menerusi program 'Aviation Sustainability Day 2026' di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pengawal selia dan pemain industri bagi mengenal pasti pendekatan praktikal dalam menjayakan agenda penyahkarbonan penerbangan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, peralihan kepada industri penerbangan yang lebih mampan memerlukan penyelarasan keutamaan, perancangan infrastruktur dan pelaburan jangka panjang antara pengendali lapangan terbang dengan syarikat penerbangan.
“Usaha penyahkarbonan kedua-dua organisasi tidak boleh dilaksanakan secara berasingan. Kita perlu memastikan pelaburan dan keutamaan operasi saling melengkapi supaya kemajuan yang bermakna dapat dicapai bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MAG sasar pengurangan intensiti pelepasan sehingga 45% menjelang 2035
Sementara itu, MAG menerusi Pelan Hala Tuju Kemampanan Jangka Sederhana menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan sebanyak 30% hingga 35% menjelang 2030 dan 40% hingga 45% menjelang 2035, selain mengurangkan intensiti penggunaan tenaga bangunan sebanyak 20% serta mencapai kadar pengalihan sisa daripada pelupusan sebanyak 55% menjelang 2030.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, kumpulan itu baru-baru ini menjadi kumpulan syarikat penerbangan pertama di ASEAN yang menerima pensijilan di bawah modul Perolehan Mampan Program Kemampanan Bersepadu Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
MAG juga menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang membatalkan penggunaan semula 80,100 unit pelepasan layak di bawah Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA), sebagai sebahagian pematuhan kewajipan Fasa 1 skim tersebut.
Malaysia Airports pula menetapkan sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2040 bagi Skop 1, iaitu pelepasan langsung daripada operasi, dan Skop 2 yang melibatkan tenaga dibeli, diikuti pelepasan terpilih Skop 3 daripada rantaian nilai menjelang 2050.
Kedua-dua organisasi berkata kerjasama dalam penggunaan SAF, tenaga boleh baharu, elektrifikasi operasi darat dan kecekapan sumber akan menyokong Pelan Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia, selain memperkukuh daya saing Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau. - DagangNews.com






