sarah10/11/2026 - 14:09 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Yinson Holdings Berhad menegaskan bahawa pihaknya belum menerima cadangan penswastaan bernilai kira-kira RM4.03 bilion selepas tandatangan seorang pengarah yang dimasukkan secara tidak sengaja pada halaman penerimaan surat tawaran menimbulkan kekeliruan mengenai status urus niaga berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Yinson menjelaskan bahawa tandatangan tersebut hanya bertujuan mengesahkan penerimaan surat cadangan bertarikh 6 November 2026, bukannya menandakan persetujuan syarikat terhadap tawaran pengambilalihan yang dikemukakan konsortium pelabur.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan media yang menyatakan atau membayangkan bahawa Yinson telah menerima cadangan penswastaan tersebut, sedangkan lembaga pengarahnya masih meneliti terma tawaran dan belum membuat sebarang keputusan rasmi.
Menurut Yinson, halaman penerimaan yang ditandatangani itu telah disertakan dalam salinan surat cadangan yang diumumkan pada 6 November akibat kesilapan tidak disengajakan, tanpa sebarang keputusan atau resolusi lembaga pengarah yang membenarkan penerimaan tawaran berkenaan.
Surat tawaran diganti, keputusan sebelum 4 Disember
Syarikat itu menegaskan bahawa halaman bertandatangan tersebut tidak pernah dikembalikan kepada pihak pembida seperti yang disyaratkan dalam surat cadangan, sekali gus tidak boleh dianggap sebagai persetujuan terhadap rancangan penswastaan.
Yinson kini menggantikan dokumen terdahulu dengan salinan surat cadangan yang mempunyai halaman penerimaan tanpa tandatangan, selain meminta pelabur supaya tidak lagi merujuk salinan asal yang dilampirkan dalam pengumuman 6 November.
Lembaga pengarah Yinson, kecuali empat individu yang mempunyai kepentingan dalam cadangan itu, masih mempertimbangkan tawaran tersebut dan mempunyai tempoh sehingga jam 5 petang, 4 Disember 2026 untuk memberikan maklum balas, melainkan tarikh berkenaan dilanjutkan secara bertulis oleh pihak pembida.
Cadangan penswastaan RM4.03 bilion masih dalam penelitian
Cadangan penswastaan yang diumumkan pada 6 November lalu melibatkan konsortium diterajui MISC Berhad bersama Yinson Legacy Sdn Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang menawarkan pembelian baki saham Yinson pada harga RM2.50 sesaham, membabitkan anggaran RM4.03 bilion.
Sekiranya dilaksanakan dan memperoleh semua kelulusan diperlukan, Yinson akan menjadi anak syarikat milik penuh MY Offshore Holdings Sdn Bhd sebelum dikeluarkan daripada senarai Pasaran Utama Bursa Malaysia, dengan MISC dan Yinson Legacy masing-masing mempunyai kepentingan efektif sekitar 41.46%, manakala KWSP memegang 17.07%.
CIMB Securities lihat tawaran RM2.50 sebagai peluang pemegang saham
Sementara itu, CIMB Securities berpandangan tawaran penswastaan pada harga RM2.50 sesaham adalah adil dan munasabah kepada pemegang saham minoriti sekiranya urus niaga itu diteruskan, memandangkan harga berkenaan menawarkan premium 10.6% berbanding harga sasaran terdahulunya RM2.26. Firma penyelidikan itu turut menaikkan harga sasaran Yinson kepada RM2.50 dan mengekalkan saranan pegang, selain mencadangkan pemegang saham menyokong tawaran tersebut apabila dibentangkan untuk kelulusan.
Menurut CIMB Securities, cadangan itu memberi peluang kepada pemegang saham minoriti merealisasikan nilai pelaburan mereka ketika Yinson berdepan beban hutang dan kos pembiayaan yang tinggi, dengan nisbah hutang bersih kepada ekuiti sebanyak 2.3 kali setakat Julai 2026, tidak termasuk saham keutamaan boleh tebus boleh tukar bernilai RM4 bilion dan sekuriti kekal RM1.9 bilion. Kelewatan memperoleh kontrak baharu juga dilihat berpotensi menjejaskan pertumbuhan pendapatan kumpulan.
Yinson menasihatkan pemegang saham dan pelabur supaya berhati-hati ketika berurus niaga dalam sekuriti syarikat serta hanya merujuk pengumuman rasmi di Bursa Malaysia bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai status cadangan penswastaan yang masih tertakluk kepada pertimbangan lembaga pengarah dan kelulusan berkaitan.- DagangNews.com






