Wawasan kawal Perikatan Nasional

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wawasan kawal Perikatan Nasional

KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara (Wawasan) di bawah pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa mengawal barisan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN), malah dikatakan mempengaruhi setiap keputusan dibuat.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu jelas apabila PN dilihat tidak konsisten dalam membuat pendirian, khususnya mengenai keabsahan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

“Pimpinan PN sekarang ini suka cakap berdolak-dalik. Sekejap cakap ke­ahlian kita tergugur secara automatik. Sekejap kata kita masih anggota PN tetapi tidak boleh menghadiri mesyuarat.

“Macam persidangan Parlimen lah, ada perkara penting yang patut dibahaskan, mereka keluar pula dari Dewan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, keanggotaan Bersatu dalam PN tergugur secara automatik selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan lain.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Datuk Se­ri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Bersatu kekal sebagai anggota PN sehingga hari ini.

Mengulas sama ada Bersatu akan bertanding solo dalam Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka, Ahmad Faizal berkata, kepemimpinan parti akan mengadakan libat urus di peringkat bahagian di negeri itu bagi menentukan strategi.

“Dalam bab nak mempersiapkan jentera dalam menghadapi PRN, nak pakai logo Bersatu atau PN, kami tidak mahu fikir lagi sebab PN sendiri pun berdolak-dalik,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu adalah sah kerana memenuhi syarat ditetapkan dalam perlembagaan parti.

“Jika cukup dua pertiga daripada keseluruhan yang hadir, mesyuarat itu dikira sah,” katanya. – UTUSAN

The post Wawasan kawal Perikatan Nasional appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved