PH bincang kekalahan dua PRN dalam mesyuarat khas 8 Ogos ini

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 3:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PH bincang kekalahan dua PRN dalam mesyuarat khas 8 Ogos ini

BUKIT MERTAJAM : Pakatan Harapan (PH) dijangka membincangkan secara terperinci berhubung kekalahan gabungan parti politik itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan pada mesyuarat khas, 8 Ogos ini.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, selain bertujuan melakukan ‘bedah siasat’ untuk mengenal pasti punca sebenar kekalahan mereka, mesyuarat khas itu juga akan digunakan sebagai platform untuk merangka strategi baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) serta PRN di negeri-negeri lain.

“Setakat ini, kita tidak bincang apa-apa lagi (selepas kekalahan PH). Kebetulan atau bukan kebetulan, PH sememangnya akan bermesyuarat pada 8 Ogos seperti yang telah ditetapkan iaitu sebelum PRN Johor dan Negeri Sembilan lagi.

“Jadi, mesyuarat khas itu turut dijadikan sebagai kesinambungan persiapan awal untuk menghadapi kemungkinan PRU dan PRN yang diadakan lebih awal daripada sepatutnya,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri akan cuba memberi tumpuan terhadap usaha mengembalikan semula fokus pengundi terhadap prestasi pentadbiran, penyampaian kerajaan serta langkah yang diambil untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu pengundi menilai kita (kerajaan negeri) berdasarkan pencapaian, bagaimana kita membantu mereka termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan sebagainya. Adakah semua ini tidak penting lagi sekarang? Itu yang kita mahu rakyat sendiri menilai,” katanya.

Ditanya sama ada politik perkauman berupaya menjejaskan keyakinan pelabur atau sebaliknya, Kon Yeow berkata, perkembangan politik semasa sememangnya telah menjurus ke arah itu dan menimbulkan persoalan mengenai hala tuju negara termasuk Pulau Pinang ketika ini.

“Memang timbul persoalan itu. Tetapi, saya melihat semua ini boleh dirangkumkan sebagai satu persoalan mengenai hala tuju negara susulan apa yang telah berlaku ketika ini selain penjajaran semula kuasa politik (dalam negara),” ujar beliau.-UTUSAN

The post PH bincang kekalahan dua PRN dalam mesyuarat khas 8 Ogos ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved