
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini memutuskan untuk tidak menaikkan kadar cukai taksiran kediaman di negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu bagi memenuhi sebahagian daripada janji yang dimuatkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 minggu lalu.
Katanya, kajian untuk menaikkan kadar cukai tersebut sebenarnya sedang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dijangka dilaksanakan Januari tahun depan.
“Dengan keputusan kerajaan negeri untuk tidak menaikkan kadar cukai pintu kediaman selama lima tahun akan datang telah menghentikan kajian tersebut.
“Ini manifesto pertama yang kami cuba tunaikan satu persatu. Minggu depan mungkin ada lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Negeri di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail memberitahu, antara perkara utama yang diputuskan dalam mesyuarat Exco hari ini ialah penetapan tarikh persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 18 Ogos ini.
Jelasnya, persidangan itu akan melibatkan upacara mengangkat sumpah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta urusan pelantikan Yang Dipertua DUN yang baharu.
Selain itu, tambahnya, timbalan Yang Dipertua DUN juga akan dilantik pada persidangan khas tersebut.
Katanya, kerajaan negeri memilih calon Speaker DUN bukan dalam kalangan ahli DUN manakala Timbalan Speaker mesti daripada kalangan ADUN.
“(Calon Speaker DUN) sudah ada bayangan tetapi belum putus manakala timbalan, saya sudah ada nama tetapi kita akan umumkan minggu depan,” katanya.-UTUSAN.
The post Tiada kenaikan cukai taksiran kediaman di Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.





