PH mahu Johor jadi kuasa ekonomi sendiri, bukan lagi 'feeder' Singapura

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PH mahu Johor jadi kuasa ekonomi sendiri, bukan lagi 'feeder' Singapura
Amirudin berucap ketika melancarkan Manifesto PH Pilihan Raya Negeri Johor, pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) mahu mengubah landskap pembangunan Johor dengan menjadikan negeri itu sebagai kuasa ekonomi yang berdiri atas kekuatan sendiri, bukan lagi sekadar menjadi 'feeder' kepada ekonomi Singapura.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, Johor memiliki semua kelebihan untuk muncul sebagai antara negeri paling maju.

Menurutnya, pelbagai projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link, pembangunan Forest City dan pelabuhan baharu perlu dimanfaatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.

"Johor bukan hanya menjadi penyendal ataupun 'feeder' kepada mana-mana kuasa di rantau ini. Johor mesti mampu berdiri dengan kukuh dan menjadi negeri yang membawa harapan baharu kepada Malaysia.

"Kita mahu rakyat Johor bekerja di Johor dengan gaji yang baik, bukan terpaksa berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk mencari rezeki," katanya dalam ucapan ketika melancarkan Manifesto PH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi PH Johor yang juga Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaleha Mustafa.

Menteri Besar Selangor itu berkata, PH akan memastikan pembangunan ekonomi diagihkan secara lebih adil ke seluruh negeri meliputi Johor Utara, Johor Tengah, Johor Selatan dan Johor Timur supaya jurang pembangunan antara daerah dapat dikurangkan.

Katanya, jika diberi mandat mentadbir negeri, PH akan menyediakan pelan pembangunan menyeluruh dalam tempoh tiga hingga enam bulan bagi memastikan setiap daerah menikmati limpahan pelaburan dan pembangunan.

Beliau berkata, Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi hab ekonomi bertaraf antarabangsa sekiranya kekuatan negeri digabungkan dengan sokongan kerajaan Persekutuan serta dasar yang memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai tinggi dan pembangunan modal insan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved