
SHAH ALAM, 3 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) bertekad menjadikan Johor sebuah negeri yang memiliki kuasa ekonomi kukuh dan tidak lagi dilihat sebagai wilayah yang dianggap penyokong atau 'feeder' kepada Singapura.
Pengarah Jentera Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan Johor selepas ini perlu dirancang bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti supaya rakyat negeri itu tidak perlu berhijrah ke negara jiran untuk mencari rezeki.
Menurut beliau, Johor perlu menjadi negeri yang mampu menjana peluang pekerjaan, bakat dan kekayaan sendiri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Rakyat tempatan tidak perlu beratus-ratus ribu menyeberang tambak setiap hari untuk mencari rezeki. Kita akan pastikan Johor cukup untuk orang Johor dan orang Malaysia bekerja dengan pendapatan yang tinggi," katanya dalam ucapan ketika melancarkan Manifesto HARAPAN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi HARAPAN Johor yang juga Pengerusi AMANAH negeri, Aminolhuda Huda Hassan; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching serta Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor, Datuk Seri Dr Zaleha Mustafa.
Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara pusat pertumbuhan utama di Asia Tenggara sekiranya kekuatan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat digembleng secara berkesan.
Beliau berkata Johor mampu menjadi lambang kejayaan Malaysia apabila pembangunan negeri itu diperkasakan secara menyeluruh.
"Kalau orang lihat Malaysia daripada Singapura, dia datang ke Singapura, bila dia seberang tambak, dia kata Malaysia ini hebat kerana nampak Johor ini hebat. Johor ini hebat sebagai lambang kejayaan dan kemuliaan Malaysia," katanya, lapor Berita Harian.
Sehubungan itu, beliau berkata falsafah pembangunan HARAPAN untuk Johor juga nanti, mesti memastikan pertumbuhan ekonomi diagihkan secara lebih adil ke seluruh negeri.
"Johor yang adil kepada semua, pembangunan ekonomi yang adil kepada semua. Bangunkan setiap lokaliti dan daerah," katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Dato' Menteri Besar Selangor turut mengakui beberapa projek strategik yang sedang dilaksana, berupaya mengubah landskap ekonomi negeri itu termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Rapid (RTS) Link serta usaha pemulihan Forest City sudah mewujudkan momentum pertumbuhan positif.
Namun katanya, manfaat pembangunan itu perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bernilai tinggi dan peningkatan pendapatan rakyat di seluruh Johor, bukan hanya tertumpu di kawasan selatan negeri.
"Menteri Besar kita (HARAPAN) nanti adalah Menteri Besar untuk semua DUN. Menteri Besar untuk semua daerah yang kita nak bangunkan. Johor Utara akan kita perkasakan. Johor Tengah akan kita hebatkan. Johor Selatan kita akan perkasakan," katanya.
Amiruddin berkata, biarpun Johor Bahru merekodkan purata pendapatan yang lebih tinggi, beberapa kawasan lain termasuk daerah Mersing dan pekan Benut masih mencatatkan pendapatan jauh lebih rendah.






