amree10/08/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Kebimbangan terhadap cadangan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas modul optik baharu dari China dilihat memberi risiko terhad kepada EG Industries Berhad, kata Phillip Capital.
Ujar firma penyelidikan tersebut, perkembangan itu malahan akan berpotensi mempercepatkan lagi pengalihan rantaian bekalan dan membuka peluang tempahan baharu kepada syarikat berkenaan sendiri.
Kumpulan itu juga jelasnya, berada pada kedudukan baik meraih manfaat usaha pelanggan global yang mempelbagaikan sumber bekalan kerana ia muncul sebagai pembekal modul optik bukan berasaskan China.
"Pengurusan EG menjelaskan harta intelek (IP) transceiver optik 1.6T dipindahkan pada April 2024 sebagai strategi awal mengurangkan risiko dan menjamin rantaian bekalan," tambah Phillip Capital.
Ia merujuk laporan AS pada 4 Ogos 2026 merangka kemungkinan larangan terhadap modul optik China bagi model baharu, dan mencetuskan kebimbangan kesan syarikat dalam rantaian bekalan teknologi.
Bagaimanapun, langkah itu turut memberikan EG kawalan lebih besar terhadap hala tuju teknologi modul optiknya, selain mengukuhkan kedudukan sebagai pembekal alternatif dipercayai di luar China.

Phillip Capital berkata, cadangan itu sebaliknya pula boleh mencetuskan pengagihan semula tempahan tinggi kepada EG kerana rakan strategik serta pelanggan utama syarikat adalah berpangkalan di AS.
"Selain itu, modul optik near-packaged optics (NPO) 1.6T miliknya berjaya melepasi audit pembuatan pelanggan pada Ogos 2026, dan membuka laluan pengeluaran disasarkan pada September 2026," jelasnya.
Tambahnya, kemudahan tingkat dua kilang EG di Batu Kawan, Pulau Pinang yang baru disiapkan, dengan empat barisan pengeluaran awal, ketika ini sudah bersedia menyokong tempahan pelanggan baharu.
Fasa kedua ujar Phillip Capital, dijangka memulakan pengeluaran menjelang Disember 2026 dengan kapasiti 20 barisan, dan meningkatkan kapasiti pengeluaran modul optik kira-kira empat kali ganda.
EG juga mengambil langkah awal mendapatkan komponen utama termasuk litar bersepadu (IC) dan indium phosphide (InP) untuk tempoh sehingga dua tahun, bagi memastikan peningkatan pengeluaran lancar.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 12 bulan RM2.50 sesaham, disokong prospek peningkatan pengeluaran modul optik berteknologi tinggi," kata firma tersebut.
Bagaimanapun ia mengingatkan syarikat masih berdepan risiko kehilangan pelanggan utama, kelewatan peningkatan pengeluaran produk dan tempahan pelanggan yang lebih lemah. - DagangNews.com






