
Tan Cheng Hoe gesa Harimau Malaya lupakan ketiadaan pemain dan fokus penuh menentang juara bertahan Vietnam di separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026.
KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tidak boleh menjadikan ketiadaan beberapa pemain sebagai alasan apabila mereka berdepan juara bertahan Vietnam, pada perlawanan separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, esok.
Sebaliknya, Ketua Jurulatih Interim Tan Cheng Hoe menggesa anak buahnya untuk kekal fokus, menikmati suasana perlawanan dan bermain dengan penuh yakin, menentang skuad bimbingan Kim Sang Sik.
“Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi mara ke separuh akhir adalah satu impian. Kita tidak boleh mencari alasan tentang siapa yang tiada. Semua pemain dalam skuad mesti bekerjasama dan berjuang.
“Pemain mesti menikmati detik ini, kekal yakin dan buktikan mereka layak berada di sini,” katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.
Antara pemain kebangsaan yang tidak dapat beraksi untuk pertembungan menentang Vietnam ialah Endrick Dos Santos, Jimmy Raymond, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dan Engku Shakir Engku Yacob yang diketepikan akibat kecederaan, manakala Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal telah kembali ke kelabnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Sporting Jax.
Walaupun Cheng Hoe mengakui bahawa Vietnam akan memberikan ujian yang getir, terutamanya dengan rekod cemerlang serta pilihan jentera serangan yang mereka ada, beliau berkata Malaysia harus menumpukan perhatian kepada prestasi sendiri, berbanding terlalu memikirkan tentang pasukan lawan.
Sementara itu, jurulatih berusia 58 tahun tersebut menjadikan perjalanan menakjubkan Cape Verde di Piala Dunia FIFA 2026, sebagai sumber inspirasi dan berkata bola sepak boleh menghasilkan keputusan di luar jangkaan apabila sesebuah pasukan mempunyai pendekatan yang betul.
“Piala Dunia memberikan banyak contoh seperti Cape Verde yang berjaya mengikat pasukan pilihan seperti Sepanyol dengan keputusan seri. Dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil jika masanya tepat,” katanya.
Bekas jurulatih Kedah dan Selangor FC itu turut menyeru penyokong Malaysia untuk hadir membanjiri stadium dan memberikan sokongan padu yang diperlukan oleh pasukan, bagi pertembungan penting tersebut.
Setakat hari ini, tiket perlawanan dilaporkan masih belum habis dijual, susulan peminat sebelum ini menyuarakan rungutan berhubung kenaikan harga tiket hampir 70 peratus berbanding aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Berdasarkan pengumuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, harga tiket kategori terbuka untuk dewasa telah dinaikkan kepada RM50, berbanding RM30 ketika peringkat kumpulan.
Menurut FAM lagi tiket bagi kategori tempat duduk utama berharga RM70, manakala tiket VIP berharga RM100, sementara tiket kategori terbuka kanak-kanak kekal tidak berubah pada harga RM5.
Sementara itu, pemain pertahanan Ubaidullah Shamsul Fazili menyifatkan aksi separuh akhir tersebut, sebagai satu detik yang mungkin lebih besar daripada perlawanan akhir itu sendiri dan berkata pasukan bertekad untuk memanfaatkan peluang sepenuhnya, sebelum membawa keputusan positif ke Hanoi untuk perlawanan timbal balik kedua hari Rabu ini.
“Sebagai seorang pemain dan sebagai satu pasukan, kami akan cuba sedaya upaya untuk melakar kejutan ke atas Vietnam. Semua orang tahu Vietnam pasukan pilihan dalam kejohanan ini dan kami pula pasukan bukan pilihan, tetapi kami akan buat sehabis baik untuk menang.
“Kami mengimpikan pentas perlawanan akhir. Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak. Esok, kita tidak boleh kalah di halaman sendiri. Kemenangan menjadi pilihan pertama dan seri, pilihan kedua. Kami mahu membawa motivasi tersebut ke Hanoi,” katanya.






