
KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengambil keputusan mengenakan hukuman ke atas lima pemain dan tiga pegawai pasukan Thailand susulan tindakan meninggalkan gelanggang pada aksi final Piala Dunia 2026.
Keputusan tersebut dibuat ketika panel bersidang di Bangkok 10 Ogos lalu bagi membincangkan mengenai tindakan Thailand mengabaikan perlawanan 23 Mei lalu dengan kesemua lapan individu didapati bersalah.
Menurut Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, lima pemain tersebut adalah Phutawan Sopa, Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart manakala pegawai terdiri daripada Narachit Kalachan, Sahachat Sakhoncharoen dan Auychai Srisuwan.
Phutawan, Wichan dan Jakkrit masing-masing didenda AS$6,000 (RM24,515) selain penggantungan yang sudah dijalani manakala Sittipong dan Chattuphon pula dikenakan denda AS$5,000 (RM20,429) serta penggantungan yang sudah dijalani.
Narachit selaku jurulatih dan Sahachat (penolong jurulatih) pula dikenakan denda AS$8,000 (RM32,687) setiap seorang manakala Auychai (pengurus) perlu membayar AS$10,000 (RM40,859) dan kesemua individu terbabit sudah menjalani penggantungan.
Berdasarkan Prosedur Tatatertib ISTAF, sebarang denda yang tidak dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari hari keputusan dibuat akan menyebabkan penggantungan antara tempoh satu hingga dua tahun.
Abdul Halim menjelaskan, individu terlibat boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dibuat dan mereka perlu membayar yuran rayuan sebanyak AS$500 (RM2,042). – KOSMO! ONLINE
The post ISTAF hukum lima pemain, tiga pegawai Thailand appeared first on Kosmo Digital.





