Tinggalkan final Piala Dunia KL: ISTAF denda lima pemain, tiga pegawai Thailand

15 Aug 2026 • 4:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tinggalkan final Piala Dunia KL: ISTAF denda lima pemain, tiga pegawai Thailand
ISTAF mengenakan denda terhadap lima pemain dan tiga pegawai pasukan kebangsaan Thailand susulan tindakan mereka meninggalkan final Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF Kuala Lumpur 2026, Mei lepas.

PERSEKUTUAN Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengenakan denda terhadap lima pemain dan tiga pegawai pasukan kebangsaan Thailand susulan tindakan mereka meninggalkan final Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF Kuala Lumpur 2026, Mei lepas.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Panel Pendengaran Tatatertib yang bersidang di Bangkok pada 10 Ogos lepas mendapati kelapan-lapan individu bersalah dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata, final itu terpaksa dihentikan pada jam 12.05 tengah malam 24 Mei lepas.

"Tiga pemain utama masing-masing didenda AS$6,000 (RM24,507) manakala dua pemain simpanan masing-masing didenda AS$5,000 (RM20,422.50) dengan tempoh penggantungan yang dikenakan terhadap mereka telahpun selesai.

"Dua jurulatih masing-masing didenda AS$8,000 (RM32,676) manakala pengurus pasukan didenda AS$10,000 (RM40,845) selain tempoh penggantungan juga selesai dijalani,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tiga pemain utama itu ialah Phutawan Sopa, Wichan Temkort dan Jakkrit Thinbangbon manakala Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart adalah pemain simpanan.

Ketua jurulatih kebangsaan, Narachit Kalachan dan penolong jurulatih, Sahachat Sakhoncharoen merupakan dua jurulatih yang dikenakan tindakan manakala Auychai Srisuwan ialah pengurus pasukan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, berdasarkan Peraturan Prosedur Tatatertib ISTAF, sebarang denda yang gagal dilunaskan dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis hukuman akan menyebabkan individu terbabit digantung antara satu hingga dua tahun.

"Rayuan boleh dikemukakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan notis hukuman dengan disertakan yuran sebanyak AS$500,” katanya.

Beliau juga berkata, keputusan itu ditandatangani pada 11 Ogos 2026 oleh anggota Panel Pendengaran Tatatertib ISTAF yang terdiri daripada wakil dari lima negara. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved