
KETAJAMAN jentera serangan Vietnam tidak pernah menghadirkan rasa gerun buat penjaga gol negara, Azri Ghani yang bersedia untuk mencabar diri tampil lebih baik pada aksi separuh akhir Piala ASEAN 2026 Ahad ini.
Daripada 10 pasukan mengambil bahagian, Vietnam muncul pasukan yang menjaringkan gol paling banyak, iaitu 13 gol selain hanya bolos sekali sepanjang empat perlawanan peringkat kumpulan.
Azri berkata, perkara paling utama adalah Harimau Malaya perlu mempersiapkan diri sendiri dan kekal fokus dalam kedua-dua aksi separuh akhir itu.
“Pertama sekali saya mahu berikan kredit kepada pasukan kerana sudah memberikan persembahan terbaik dalam empat perlawanan. Bagi saya, tidak ada masalah, saya harapkan kita boleh berikan yang terbaik pada perlawanan dengan Vietnam.
“Setiap perlawanan, saya akan berikan tumpuan dan cuba atur pertahanan di depan. Bagi saya, sememangnya saya perlu berada dalam keadaan bersedia. Pertama kali saya (akan) diturunkan lawan skuad senior Vietnam, jadi saya nak mencuba.
“Saya mahu berikan persembahan terbaik. Jadi untuk saya, siapa yang datang (dipertaruhkan oleh Vietnam), Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik,” katanya.
Mengambil kira Harimau Malaya kini dibarisi skuad campuran, peranan pemain berpengalaman seperti Paulo Josue, Syafiq Ahmad dan Azri pastinya ditagih bagi memberikan keyakinan kepada bintang muda negara.
Malaysia dijangka berdepan cabaran sukar kerana berdasarkan reputasi dan prestasi semasa, Vietnam yang hadir sebagai juara bertahan dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menjadi juara di mana skuad Golden Star Warriors itu sudah tiga kali layak ke final dalam empat edisi terakhir.
The post Piala ASEAN: Azri sedia hadap ‘bedilan’ Vietnam appeared first on Kosmo Digital.






