
TIADA jalan lain buat Harimau Malaya selain menang besar ke atas Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, pada aksi terakhir Kumpulan A malam ini jika mahu mara ke final Piala ASEAN FIFA 2026.
Selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Indonesia dalam aksi sengit Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Isnin lepas, skuad negara kini berdepan misi wajib menang di Bandung.
Keputusan positif menjadi syarat utama untuk memastikan skuad negara tidak balik awal kerana jika gagal mara ke final, Malaysia masih perlu mendapatkan mata untuk beraksi penentuan tempat ketiga selaku naib juara kumpulan.
Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui anak-anak buahnya bersedia untuk mengharungi perlawanan penting menentang Singapura selepas diuji secara mental dan fizikal ketika bertemu Indonesia sebelum ini.
“Saya fikir pemain mendapat pengalaman serta keyakinan kerana banyak detik penting berlaku ketika menentang Indonesia.
“Kini, fokus terarah pada satu perlawanan sukar menentang Singapura dan ini satu lagi aksi derbi Seberang Tambak buat kita.
“Kami tahu berdepan Singapura bakal menjanjikan satu lagi perlawanan yang sukar buat kita,” katanya.
Menurut Cheng Hoe, keputusan positif di Jakarta memberi suntikan keyakinan kepada pemain untuk menghadapi Singapura, namun faktor pemulihan menjadi cabaran utama apabila mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu.
“Selepas mendapat keputusan baik menentang Indonesia, saya yakin kami bersedia. Tetapi, kami juga mempunyai masa yang singkat kerana perlu melakukan perjalanan ke Bandung.
“Ini bukan alasan kerana dalam bola sepak, anda memerlukan pemulihan dan persiapan yang baik. Barisan kejurulatihan mahu memastikan pemain bersedia sepenuhnya untuk aksi menentang Singapura nanti,” katanya.
The post Piala ASEAN FIFA: Dua tugas mesti lunas appeared first on Kosmo Online.






