JAKARTA, 3 Okt (Bernama) -- Malaysia bakal berdepan Vietnam tanpa khidmat ketua pasukan Dion Cools dan pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, Isnin depan.
Ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe berkata Mohamad Faisal telah pulang ke tanah air selepas aksi bertemu Singapura di Bandung, Khamis lepas kerana perlu mendapatkan rawatan lanjut susulan kecederaan betis dan tendon dihadapinya ketika berdepan Indonesia, Isnin lepas.
Cheng Hoe berkata Cools meninggalkan kem pasukan selepas pertembungan dengan Singapura atas urusan keluarga yang perlu diselesaikan segera.
“Selepas perlawanan menentang Singapura tempoh hari, Dion (Cools) tidak bersama kita untuk perlawanan akan datang disebabkan beliau mempunyai urusan keluarga yang perlu diselesaikan dengan segera.
“Kita menghormati keputusan Dion dan mengharapkan yang terbaik untuk beliau. Pada masa sama, kita mengharapkan pemain-pemain lain bersedia untuk perlawanan menentang Vietnam,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini hari ini.
Cheng Hoe mengakui ketiadaan Cools memberi kesan terutama di bahagian pertahanan memandangkan pemain itu bukan sahaja menjadi tonggak benteng negara, malah memainkan peranan penting sebagai ketua pasukan.
Pada masa sama, Cheng Hoe mengesahkan penyerang naturalisasi terbaru Bergson Da Silva yang telah mengutip dua kad kuning bebas daripada penggantungan dan boleh diturunkan menentang Vietnam.
Piala ASEAN FIFA: Tidak Mustahil Harimau Malaya Ke Final - Ab Ghani
Piala ASEAN FIFA 2026: 'Perubahan' Masa Tambahan Aksi Indonesia-Bangladesh Undang Tanda Tanya Netizen
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemain sudah mula bangkit daripada kekecewaan gagal mara ke final selepas Indonesia mengatasi Malaysia menerusi jumlah jaringan untuk muncul juara Kumpulan A.
Menurut beliau, suasana dalam kem kekal positif dengan kemenangan besar ke atas Singapura turut membantu mengembalikan keyakinan pemain menjelang perlawanan terakhir mereka dalam kejohanan.
“Memang ketika itu keseluruhan pasukan termasuk pemain dan pegawai agak kecewa, tetapi walaupun kita tidak layak ke final, semua anggota pasukan kekal positif dan suasana cukup baik.
“Kita kena kekalkan prestasi dan konsistensi kerana kemenangan pasukan datang daripada semangat berpasukan dan semangat juang yang baik. Itu yang kita mahu dalam usaha melihat Harimau Malaya bangkit semula,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.
Final Piala ASEAN FIFA 2026 menemukan Thailand dan pasukan tuan rumah dijadual berlangsung di GBK Isnin depan.





