Piala Dunia cetus lonjakan pasaran perpindahan, lebih RM13 bilion dibelanjakan

Football
4 Sep 2026 • 10:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Piala Dunia cetus lonjakan pasaran perpindahan, lebih RM13 bilion dibelanjakan
Perpindahan Barcola (kiri) dari Paris Saint-Germain ke Liverpool mencecah 676 juta pound dan Rodri berkelana dari Manchester City ke Barcelona dengan tanda harga RM367 juta. Foto: Agensi.

PENAMPILAN di Piala Dunia 2026 memberi impak besar terhadap pasaran perpindahan antarabangsa apabila lebih 260 pemain yang beraksi pada kejohanan berkenaan terlibat dalam urus niaga bernilai melebihi AS$3.3 bilion (RM13.34 bilion) sepanjang jendela pertengahan tahun.

Menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain dari 47 negara itu menyumbang lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan perpindahan antarabangsa bola sepak lelaki yang merekodkan nilai tertinggi sebanyak AS$9.89 bilion (RM39.9 bilion).

Dalam laporan terbaharunya, FIFA turut mendedahkan lebih 12,500 perpindahan antarabangsa didaftarkan di seluruh dunia sepanjang jendela berkenaan, sekali gus mencatat angka tertinggi bagi tempoh pertengahan tahun.

Kejayaan Sepanyol menjuarai Piala Dunia pada Julai turut menjadi antara faktor yang menghangatkan pasaran apabila prestasi pemain di pentas terbesar itu meningkatkan nilai komersial dan pasaran mereka.

Antara nama besar yang mencuri perhatian ialah pemain tengah Sepanyol, Rodri, yang meninggalkan Manchester City untuk menyertai Barcelona, manakala pemain sayap Perancis, Bradley Barcola, beralih daripada Paris Saint-Germain (PSG) ke Liverpool.

Fenomena peningkatan nilai perpindahan turut berlaku dalam bola sepak wanita apabila jumlah perbelanjaan antarabangsa melonjak lebih dua kali ganda berbanding 2025 kepada AS$28.6 juta (RM115 juta).

Sebanyak 1,406 perpindahan antarabangsa membabitkan pemain profesional wanita direkodkan sepanjang tempoh itu, angka tertinggi dalam sejarah dan meningkat 19.2 peratus berbanding rekod sebelumnya.

Kelab dari England terus menjadi kuasa utama dalam pasaran global apabila membelanjakan AS$3.02 bilion (RM12.21 bilion) untuk perpindahan pemain lelaki, manakala AS$8 juta (RM32 juta) dibelanjakan dalam pasaran wanita.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved