Speedy Tigers mula ‘langkah kiri’

15 Aug 2026 • 11:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Speedy Tigers mula ‘langkah kiri’

KUALA LUMPUR – Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk membuka kempen Piala Dunia Hoki 2026 dengan keputusan positif tidak kesampaian selepas tewas 1-5 kepada Jerman pada aksi pembukaan Kumpulan B, hari ini.

Speedy Tigers dikejutkan dengan permulaan pantas Jerman apabila pasukan ranking kelima dunia itu hanya memerlukan empat minit untuk membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jakob Brilla.

Belum sempat Malaysia menyusun semula rentak, Jerman menggandakan kelebihan seminit kemudian hasil gol padang Christopher Ruhr sebelum Justus Weigand menjadikan kedudukan 3-0 pada minit kelapan.

Tiga jaringan dalam tempoh lapan minit pertama meletakkan skuad kendalian Brendon Carolan dalam situasi sukar, namun Malaysia berjaya mengelak daripada terus dibolosi sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki suku ketiga, Speedy Tigers tampil lebih baik dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Azrai Aizad Abu Kamal menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-40 untuk merapatkan kedudukan 1-3.

Bagaimanapun, kebangkitan itu tidak bertahan lama apabila Jerman kembali melebarkan jurang menerusi gol padang Justus Warweg pada minit ke-45, sekali gus memadam momentum yang cuba dibina Malaysia.

Jerman terus mengawal permainan pada suku terakhir sebelum Paul-Philipp Kaufmann melengkapkan kemenangan 5-1 menerusi gol padang pada minit ke-53 untuk memastikan Speedy Tigers memulakan kempen dengan kekalahan.

Selepas ini, Malaysia perlu segera bangkit apabila dijadualkan menentang Perancis pada aksi kedua Kumpulan B, Isnin sebelum menutup saingan peringkat kumpulan berdepan Belgium, awal pagi Rabu. KOSMO! ONLINE

The post Speedy Tigers mula ‘langkah kiri’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved