Pickrell tebus kecewa di Rembau

3 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pickrell tebus kecewa di Rembau

 

REMBAU: Riley Pickrell memilih saat paling tepat untuk melancarkan serangan apabila melakukan henjutan pada 300 meter terakhir sebelum mengatasi Matteo Malucelli dalam perlumbaan Peringkat 6 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), semalam.

Pelumba Modern Adventure Pro Cycling itu menamatkan kayuhan 121.3 kilometer (km) dari Pandan Indah ke Rembau dalam masa 2 jam 40 minit 06 saat (s), sekali gus meraih kemenangan yang diburu sejak awal musim.

Malucelli daripada XDS Astana terpaksa akur di tempat kedua dengan catatan masa sama, manakala Seppe Van den Boer (Tudor Pro Cycling) melengkapkan podium.

Rory Townsend (Unibet Rose Rockets) dan Christian Rees (Team Picnic PostNL) masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.

Pickrell berkata, kejayaan itu banyak dipengaruhi taktikal pasukan yang memastikan dirinya kekal terlindung sebelum diletakkan pada posisi terbaik untuk melakukan pecutan terakhir.

“Satu-satunya sebab saya menang hari ini adalah rakan sepasukan saya meletakkan saya di posisi yang lebih baik berbanding pasukan Malucelli, dan begitulah lumrah perlumbaan basikal, tetapi saya sangat terhutang budi kepada rakan

sepasukan saya,” katanya.

Sebelum itu, rakan sepasukan Pickrell, Kieran Haug memainkan peranan penting apabila menyertai pemecahan awal bagi memaksa Astana mengejar dari awal perlumbaan.

“Dia memaksa Astana bekerja seawal kilometer ke-10 atau ke-15. Jadi, kami boleh duduk dalam kelompok dan menjimatkan tenaga. Kemenangan ini adalah hasil kerja seluruh pasukan,” katanya.

Kemenangan itu hadir tepat pada masanya selepas Pickrell sebelum ini sekadar berpuas hati bergelar naib juara di belakang Malucelli pada Peringkat 1 (Kampar) dan Peringkat 3 (Kuala Kangsar).

Sementara itu, Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling) kekal menguasai keseluruhan perlumbaan selepas enam peringkat dengan catatan 21:38:39s.

Jan Castellon (Caja Rural-Seguros RGA) mengekori 42 saat di belakang, manakala Jose Manuel Diaz (Burgos Burpellet BH) di tempat ketiga dengan jurang 1 minit 20 saat.

Jasch turut menguasai Jersi Polka Dot dengan 45 mata, manakala Petr Rikunov dan Castellon masing-masing mengumpul 41 dan 26 mata.

Jersi Biru pula menjadi milik Malucelli yang mengumpul 44 mata, diikuti Pickrell dengan 39 mata dan Van den Boer 20 mata.

Yuhi Todome (Aisan Racing Team) terus mendahului saingan Jersi Putih sebagai pelumba terbaik Asia dengan catatan 21:46:00 saat, diikuti Tsen Ren Bao dan Tsen Ren Han.

LTdL26 memasuki Peringkat 7 sejauh 158.9km dari Melaka ke Batu Pahat, hari ini, menawarkan tiga zon pecutan di Tangkak, Bukit Kepong dan Parit Sulong. – UTUSAN

The post Pickrell tebus kecewa di Rembau appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved