SFP Tech teroka industri pertahanan, robotik dan perlombongan, buku tempahan cecah RM143.86 juta

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 5:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SFP Tech teroka industri pertahanan, robotik dan perlombongan, buku tempahan cecah RM143.86 juta Image from: SFP Tech teroka industri pertahanan, robotik dan perlombongan, buku tempahan cecah RM143.86 juta sarah20/11/2026 - 17:52 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov - SFP Tech Holdings Bhd (SFP Tech) sedang meneroka peluang perniagaan dalam industri pertahanan, robotik dan perlombongan, ketika buku tempahannya mencecah RM143.86 juta setakat 30 Oktober 2026, disokong permintaan kukuh daripada sektor semikonduktor dan tenaga.

 

Pengarah Urusannya, Keoh Beng Huat berkata, syarikat itu turut melihat potensi dalam sektor penyimpanan tenaga, elektronik perindustrian, komunikasi, teknologi perubatan dan tenaga boleh diperbaharui, selain memperluas hubungan dengan pelanggan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Eropah.

 

“Selain semikonduktor, kami melihat minat berterusan dalam sektor penyimpanan tenaga, elektronik perindustrian dan komunikasi, di samping peluang baharu dalam pertahanan, perlombongan, robotik, teknologi perubatan dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Semikonduktor kuasai 56.1% buku tempahan

Daripada keseluruhan buku tempahan RM143.86 juta itu, sektor semikonduktor menyumbang RM80.8 juta atau 56.1%, diikuti tenaga sebanyak RM40.5 juta (28.2%), teknologi perubatan RM11.6 juta (8.1%), industri lain RM6.7 juta (4.7%) dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) RM4.2 juta (2.9%).

 

Beng Huat berkata, peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) terus mendorong pelaburan dalam industri semikonduktor, manakala reka bentuk cip yang semakin kompleks meningkatkan permintaan terhadap peralatan lebih canggih, sekali gus membuka peluang kepada SFP Tech untuk memperluas penglibatan dalam proses pembuatan cip peringkat awal.

 

Syarikat itu turut mengekalkan nisbah tempahan kepada jualan melebihi 1.2 kali bagi tiga suku tahun berturut-turut, menunjukkan tempahan baharu terus mengatasi hasil jualan yang direkodkan.

 

Keuntungan sembilan bulan melonjak 82.8%

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, hasil SFP Tech meningkat 60.5% kepada RM113.89 juta berbanding RM70.98 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan selepas cukai melonjak 82.8% kepada RM15.21 juta daripada RM8.32 juta.

 

Pada suku ketiga tahun kewangan 2026, hasil meningkat 24% kepada RM48.50 juta berbanding RM39.11 juta pada suku sebelumnya, disokong permintaan pelanggan lebih kukuh, walaupun keuntungan selepas cukai terjejas oleh margin keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah dan kerugian pertukaran asing sebanyak RM820,000.

 

Tidak termasuk kerugian pertukaran asing tersebut, margin keuntungan selepas cukai yang diselaraskan bagi suku ketiga berada pada 13.7%, manakala margin keuntungan selepas cukai bagi tempoh sembilan bulan mencapai 13.5%.

 

Beng Huat berkata, tumpuan SFP Tech selepas ini adalah untuk menukar perbincangan dengan pelanggan kepada tempahan sebenar, memperluas penyertaan dalam pelbagai industri dan mengukuhkan kedudukan syarikat di pasaran antarabangsa.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved