
BADANG negara, Mohamad Syahmi Nor Ghazali mendedahkan dia terpaksa menggagahkan diri menahan kesakitan akibat kekejangan otot ketika melakukan angkatan clean and jerk sebelum menyumbang pingat emas keenam pada Sukan Komanwel 2026, semalam.
Atlet berusia 22 tahun itu berkata, kekejangan mula dirasai ketika melakukan angkatan kedua clean and jerk, namun dia enggan mengalah kerana mahu membutirkan kilauan emas dalam kategori 94 kilogram (kg).
“Sebaik melakukan angkatan clean and jerk saya mula terasa kekejangan pada hamstring kiri. Saya cuba meneruskannya, tetapi sukar untuk melakukan angkatan. Memang sangat sakit, namun saya tetap cuba berjuang lagi pada percubaan ketiga.
“Pada percubaan ketiga, selepas saya melakukan angkatan dan memang tak mampu untuk naikkan beban itu. Kekejangan tersebut memang sangat menyakitkan,” katanya yang melepasi angkatan 197kg clean and jerk dengan satu percubaan.
Walaupun beraksi dalam keadaan tidak selesa, Syahmi tetap berjaya muncul juara menerusi jumlah angkatan keseluruhan 347 kilogram (kg), hasil angkatan 150kg dalam snatch dan 197kg bagi clean and jerk.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad angkat berat menyumbang lima daripada enam pingat emas negara setakat ini, selepas Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat dan Muhammad Hafizuddin Roslin turut muncul juara dalam kategori masing-masing.
Mengulas kejayaan tersebut, Syahmi menyifatkan pingat emas itu sebagai ganjaran paling bermakna selepas segala pengorbanan yang dilaluinya sepanjang menjalani latihan akhirnya membuahkan hasil.
Mengenai sasaran selepas ini, dia mengakui belum mahu memikirkan cabaran yang bakal dihadapinya kerana mahu memberi tumpuan kepada proses pemulihan sebelum kembali menjalani latihan.
“Saya mahu mencipta satu lagi keajaiban dan sasaran saya ialah melakukan angkatan clean melebihi 200kg pada masa depan,” katanya.
The post Sukan Komanwel: Syahmi berkorban demi emas appeared first on Kosmo Digital.






