
KUANTAN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang menegaskan bahawa kejayaan Belanjawan 2027 tidak hanya terletak pada jumlah peruntukan besar yang diumumkan, sebaliknya bergantung kepada pelaksanaan yang telus serta mampu memberikan peluang sebenar kepada kontraktor yang layak.
Yang Dipertua PKMM Pahang, Abd. Gapar Lambak berkata, ketelusan pengagihan projek, mekanisme kelulusan Perubahan Harga (VOP) yang berkesan dan kemudahan pembiayaan mencukupi mesti seiring demi memperkukuh kedudukan kontraktor Melayu serta bumiputera dalam industri pembinaan negara.
Beliau berkata, pihak persatuan menyambut baik peruntukan RM7.5 bilion bagi kontraktor Gred G1 hingga G4 dalam Belanjawan 2027.
“Cuma, apa diharapkan, peruntukan besar tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang projek yang lebih luas, adil dan telus, khususnya kepada kontraktor kecil dan sederhana Melayu serta bumiputera.
“Bagi memastikan pengagihan projek berlaku secara saksama, PKMM Pahang mencadangkan agar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada projek yang bersesuaian dilaksanakan menerusi kaedah cabutan undi.
“Kaedah cabutan undi ini penting bagi memperluas peluang penyertaan kontraktor yang layak, selain dapat mengurangkan persepsi pilih kasih dalam pengagihan projek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abd. Gapar berkata, PKMM turut menyambut baik kelulusan VOP dan berharap mekanisme pelaksanaannya dipermudahkan serta mengambil kira perubahan harga bahan binaan terkini secara telus.
“Langkah ini disifatkan kritikal agar kontraktor tidak terus menanggung tekanan kos yang boleh menjejaskan aliran tunai dan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan projek berkepentingan rakyat menggunakan pelan pra kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai sehingga RM5 juta melalui kaedah pelawaan sebut harga.
“Pelaksanaan pelan prakelulusan JKR tersebut disifatkan mampu mempercepatkan projek kemudahan awam untuk rakyat, sekali gus menandakan perluasan skop sebut harga sehingga ke gred G5,” katanya.
Abd. Gapar dalam pada itu menggesa agar projek penyelenggaraan jalan Persekutuan dan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor tempatan menerusi kaedah cabutan undi bagi kerja-kerja yang bersesuaian.
Selain keutamaan peluang projek, PKMM Pahang turut menggesa kerajaan dan institusi kewangan memberi perhatian serius terhadap akses pembiayaan yang lebih mesra kontraktor. – UTUSAN
The post PKMM mahu pengagihan projek Belanjawan 2027 telus, bantu kontraktor bumiputera appeared first on Utusan Malaysia.






