PKR cabar Warisan keluar Kerajaan Perpaduan

LocalPolitics
20 Sep 2025 • 2:42 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tuaran mencabar Warisan keluar daripada Kerajaan Perpaduan susulan siri serangan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal terhadap kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Ketuanya, Razeef Rakimin (gambar) berkata, hampir setiap ceramah Shafie kebelakangan ini menjurus kepada usaha memburukkan kerajaan persekutuan, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja berbentuk fitnah dan cacian, malah dilihat sebagai usaha terdesak bagi meraih semula sokongan politik selepas kontroversi Shafie yang melabel suku Murut sebagai ‘kafir’.

“Ini bukan perkara baru, sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan menghina masyarakat Cina dengan panggilan tidak wajar, selain mempersenda petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Shafie berkata mereka (Rela) hanya tahu kawal trafik di majlis perkahwinan dan tidak tahu memegang senjata.

“Shafie juga cuba menimbulkan persepsi buruk terhadap Yang Di-Pertua Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Jumaat.

Razeef, yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah menegaskan, Kerajaan Perpaduan tidak perlukan pemimpin yang bersikap seumpama itu.

Pada masa sama, katanya, Shafie juga sememangnya tidak sesuai berada di bawah payung Gagasan Malaysia Madani, yang antara teras utamanya adalah mementingkan nilai kemanusiaan.

“Justeru, daripada berterusan ‘menyerang’ kerajaan perpaduan, namun masih duduk di bawah payung yang sama, saya cabar Shafie bawa Warisan keluar dari kerajaan persekutuan.

“Bermula dengan meminta adiknya, Datuk Mohammad Yusof Apdal meletakkan jawatan timbalan menteri di persekutuan – kemudian kita akan lihat sama ada Shafie seorang pemberani atau sekadar ‘menyalak bukit’,” tegasnya.