GEORGE TOWN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan parti itu berdepan masalah dalaman atau krisis kepimpinan susulan dakwaan wujudnya ‘dua nakhoda’ dalam parti berkenaan.
Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, kepimpinan utama parti kekal utuh yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga presiden parti berkenaan.
Menurutnya, pasukan teras PKR kekal utuh dan masih bekerjasama dengan baik dalam kepimpinan parti.
“Barisan kepimpinan teras kekal utuh dan masih bekerja dengan baik dalam kepimpinan parti,” katanya.
Tze Tzin ditemui ketika menghadiri sidang media bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Jumaat.
Ditanya sama ada PKR kini mempunyai dua nakhoda, beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru menegaskan perkara itu tidak mungkin berlaku kerana parti hanya mempunyai seorang pemimpin utama.
“Mana mungkin PKR ada dua nakhoda. Hanya nakhoda kita adalah Perdana Menteri dan juga Presiden parti.
“Saya fikir itu sangat jelas dalam Keadilan. Hanya ada satu jeneral, bukan seperti dalam Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai banyak isu dan pelbagai nakhoda. Tetapi di Keadilan, kami hanya satu sahaja, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Menurutnya, semua ahli parti akan terus bekerjasama dengan baik yang mana PKR kini sudah bergerak ke hadapan daripada isu beberapa Ahli Parlimen yang meninggalkan parti.
“Setakat ini saya tak nampak ada pergolakan. Pimpinan amat solid, 'the core leaders remain steadfast in the party'.
“Ya benar kita mempunyai beberapa Ahli Parlimen yang meninggalkan parti termasuk Ahli Parlimen Subang yang keluar parti baru-baru ini. Tetapi perkara itu sudah dijangka.
“Sudah sekian lama kita tahu pergerakan segelintir pimpinan yang telah lama merancang begitu. Parti telah 'move on' daripada perkara tersebut,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilaporkan berkata, PKR tidak mampu menjadi organisasi yang kuat jika wujud dua nakhoda dalam parti yang mengemudi satu kapal atau ada tangan ghaib membentuk struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang ada.
Nurul Izzah berkata, parti itu juga tidak mampu kuat sebagai organisasi selagi tenaga pemimpin dan ahlinya dihabiskan untuk menghadapi pertelingkahan dalaman.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Wanita & Angkatan Muda Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Jumaat.
Dalam pada itu, mengulas dakwaan berlaku konflik dalaman dalam PKR, Tze Tzin berkata, parti itu kini sedang mengadakan Konvensyen Nasional PKR yang bermula dengan persidangan melibatkan Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan.
Katanya, konvensyen nasional yang melibatkan pimpinan parti akan berlangsung selepas itu sebagai platform untuk melakukan refleksi terhadap kelemahan parti khususnya susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“Kita sememangnya ada sedikit tamparan susulan daripada PRN Johor dan juga Negeri Sembilan. Sudah tentunya perwakilan akan membangkitkan pelbagai isu.
“Ini adalah satu platform untuk pimpinan mendengar keluhan dan memahami kelemahan kita. Kita akan bekerja keras untuk satu tahun akan datang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).
“Jadi, masih ada masa untuk kita memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.





