PKS perlu perkukuh disiplin kewangan, manfaat aset tidak ketara

Business & Finance
20 Aug 2026 • 1:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PKS perlu perkukuh disiplin kewangan, manfaat aset tidak ketara

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memperkukuh disiplin kewangan serta memanfaatkan aset tidak ketara bagi meningkatkan daya tahan perniagaan, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi dan risiko kemerosotan jualan.

Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan ASEAN, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Phar Kim Beng berkata, kajian terhadap kira-kira 120,000 perusahaan di Asia menunjukkan sebahagian besar perniagaan masih berdepan kekangan pembiayaan dan margin keuntungan yang rendah.

Katanya, kajian melibatkan 24 kumpulan sektor dan pelbagai subsektor itu mendapati kira-kira 77 hingga 80 peratus perusahaan mempunyai sebahagian besar nilai perniagaan mereka terikat pada aset tidak ketara.

“Antara cabaran utama ialah akses kepada pembiayaan. Banyak perusahaan tidak mempunyai ruang kewangan yang mencukupi untuk menghadapi kejutan ekonomi,” katanya dalam sesi forum bertajuk “Pilihan Sukar Asia, Mengurus Risiko Geoekonomi dan Geopolitik” sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2026 di sini hari ini.

Antara isu yang dibincangkan termasuk perpecahan blok perdagangan, kejutan tenaga dan komoditi serta ketidaktentuan aliran modal yang boleh mempengaruhi keputusan pelaburan, kos perniagaan, rantaian bekalan dan pertumbuhan ekonomi.

Panel yang terlibat ialah Pengerusi ASEAN India Economic Council (AIEC) dan Pengasas serta Pengerusi Goldtex Group, Malaysia, Datuk Ramesh Kodammal,Ketua Pegawai Eksekutif Asia-Pacific Economics, Rajiv Biswas, Ketua Arkitek serta Penasihat AI, AIDT Lab, KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Prof. M. Nazri Muhd serta Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan. 

Menurut Kim Beng, ujian tekanan terhadap prestasi perusahaan menunjukkan penurunan jualan yang kecil sekalipun boleh memberi kesan besar terhadap kedudukan kewangan PKS.

Katanya, jika jualan merosot 10 peratus, sebahagian besar perusahaan berisiko menghadapi tekanan kewangan, manakala kemerosotan 30 peratus boleh menyebabkan antara 50 hingga 60 peratus perusahaan berdepan masalah margin.

“Jika jualan jatuh sehingga 50 peratus, hampir semua perusahaan akan mengalami tekanan kewangan yang serius,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PKS perlu mengambil langkah awal bagi memastikan kesihatan kewangan, aliran tunai dan kemampuan pembiayaan sentiasa berada pada tahap kukuh.

Menurut Kim Beng, terdapat sembilan bidang yang perlu diberi perhatian oleh PKS, termasuk pemeriksaan kesihatan kewangan, pengurusan aliran pendapatan dan perbelanjaan, pengurusan bekalan, jualan, sumber pembiayaan, pemulihan perniagaan serta pembangunan.

Dalam pada itu, beliau berkata, inovasi perlu dilihat bukan sekadar dari sudut teknologi baharu, tetapi turut merangkumi usaha mengenal pasti dan membangunkan nilai aset tidak ketara sesebuah perniagaan.

“Aset tidak ketara termasuk jenama, harta intelek, paten, pengalaman, hubungan dengan pelanggan, metodologi, sistem dan pengetahuan yang dimiliki sesebuah perusahaan.

“Jika diurus dengan baik, aset ini boleh membantu meningkatkan nilai perusahaan dan membuka peluang kepada pembiayaan, pelaburan serta pengembangan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, sesuatu aset tidak ketara perlu memenuhi beberapa ciri utama, antaranya dimiliki atau dikawal oleh perusahaan, boleh dipindahkan atau dilesenkan dan mempunyai potensi menghasilkan manfaat ekonomi pada masa depan.

Katanya, penilaian terhadap aset berkenaan juga perlu mengambil kira keupayaannya menjana pendapatan pada masa depan melalui unjuran kewangan yang munasabah.

“Ini bukan semata-mata mengenai menunjukkan nilai di atas kertas, tetapi bagaimana nilai tersebut boleh digunakan untuk memperkukuh keuntungan dan meningkatkan nilai keseluruhan perusahaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa disiplin kewangan dan inovasi bukan dua pendekatan yang berasingan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara serentak bagi membina daya tahan perniagaan.

“Pemilik perniagaan perlu memahami kedudukan aset tidak ketara mereka dan mengurus disiplin kewangan secara menyeluruh, tanpa mengira sektor atau tahap kitaran perniagaan.

“Gabungan kedua-duanya akan membantu perusahaan lebih bersedia menghadapi krisis serta mewujudkan nilai baharu untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, institusi pendidikan boleh mengubah metodologi pengajaran, sistem pengurusan pembelajaran, kandungan kursus dan kaedah penilaian kepada aset tidak ketara yang mempunyai nilai komersial.

Tambahnya, pendekatan sama boleh diterapkan oleh PKS dalam sektor lain dengan mengenal pasti pengetahuan, sistem, proses dan harta intelek yang mampu menjana manfaat ekonomi pada masa depan. – UTUSAN

The post PKS perlu perkukuh disiplin kewangan, manfaat aset tidak ketara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved