PM gesa ketua jabatan, agensi turun padang selesai masalah projek pembangunan

LocalPolitics
8 Sep 2026 • 7:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PM gesa ketua jabatan, agensi turun padang selesai masalah projek pembangunan
Anwar ketika mempengerusikanMesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 pada Selasa. - FOTO: Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Setiap ketua jabatan dan agensi digesa turun padang bagi meneliti permasalahan, memahami kesukaran serta segera menyelesaikan sebarang isu yang menghambat pelaksanaan projek pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 pada Selasa yang turut menyentuh isu projek pembangunan berstatus sakit, kelewatan daripada jadual serta kelembapan perbelanjaan peruntukan yang telah diluluskan.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan pembangunan yang besar untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi di seluruh negara, justeru menjadi tanggungjawab ketua jabatan dan agensi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

"Maka, menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan agensi untuk turun sendiri ke lapangan, meneliti permasalahan yang dihadapi serta memahami kesukaran yang menghambat pelaksanaan sebelum segera mencari jalan penyelesaian.

"Kita tidak boleh sekadar berpuas hati apabila peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan di lapangan masih tertangguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa. 

Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Beliau berkata, komitmen berkenaan penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved