
AMPANG: Cadangan supaya aktiviti pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) diletakkan di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan memperkukuh kawal selia serta mengelakkan salah guna kuasa dalam pengurusan institusi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan wajar dilaksanakan bagi memastikan pengurusan TH dikawal lebih ketat serta mengelakkan salah guna kuasa dan elemen negatif lain.
Katanya, beliau menyokong cadangan itu setelah diberi taklimat oleh pengurusan TH.
Selain itu, Perdana Menteri juga menyokong agenda reformasi TH lain, selain memaklumkan sudah mendengar taklimat berhubung perkara itu.
“Langkah ini diambil pengurusan baharu TH, diterajui Tan Sri Abdul Rashid Hussain. Ini bagi saya sesuai dan sudah dengar taklimat mereka, selain menyokong (pelaksanaan) tindakan berkenaan.
“Ini termasuk cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) supaya pengurusannya dikawal lebih ketat, sama ada oleh SC atau BNM dan tidak terlepas seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan TH dalam proses memperhalusi rangka kerja kawal selia baharu bagi meletakkan operasi pelaburannya di bawah pengawasan berkanun SC.
Abdul Rashid berkata, keputusan tersebut dicapai selepas pertimbangan terperinci selama hampir enam bulan oleh sebuah jawatankuasa pasukan petugas bersama yang turut dianggotai oleh Pengerusi SC dan Gabenor BNM.
Langkah strategik ini diambil bagi memenuhi syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menekankan kepentingan memastikan faktor luaran berkaitan pengurusan dana TH dipantau oleh institusi yang dipercayai.
“Selepas mempertimbangkan secara terperinci, kami menyimpulkan bahawa adalah lebih relevan untuk cabang pelaburan TH dikawal selia oleh SC.
“Apabila perkara itu berlaku, saya fikir hampir 90 peratus daripada syor RCI akan selesai dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peralihan ini tidak bermakna BNM akan diketepikan sepenuhnya daripada operasi institusi pengurusan dana haji tersebut. –UTUSAN
The post PM sokong cabang pelaburan TH diselia SC, BNM appeared first on Utusan Malaysia.






