
PETALING JAYA – “Teringin nak pergi, tapi maaf hari Sabtu saya di Brunei.”
Demikian reaksi balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di aplikasi Threads apabila beliau menerima satu jemputan sempena Hari Usahawan Cilik dari seorang murid di Al Sakeenah Learning Centre di Subang Jaya.
Menerusi komen balas itu juga, Perdana Menteri turut mendoakan agar majlis di pusat pendidikan itu berjalan lancar.
“Saya doakan Hari Kantin taska berjalan lancar. Jangan beli jajan banyak sangat,” tulisnya.
Terdahulu, seorang guru taska tersebut dikenali sebagai Aqilkmzmn telah berkongsi satu mesej yang ditulis oleh muridnya di aplikasi Threads bagi menjemput Perdana Menteri datang ke pusat pendidikan tersebut.
Lebih melucukan, dalam mesej tersebut, murid berkenaan memanggil Perdana Menteri dengan gelaran ‘Uncle Anwar’.
“Minggu lepas salah seorang murid kami tanya boleh ke ajak PMX datang Hari Usahawan Cilik.
“Kita pun cakap kalau awak berjaya buat PMX datang abi (cikgu) bagi awak 100 markah on classdojo (sebagai penghargaan). Tudia dia pi uncle (pak cik) je PMX,” tulis guru tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post PMX balas komen murid panggil ‘Uncle Anwar’ appeared first on Kosmo Digital.






