
PETALING JAYA -Bintang cilik basikal Selangor, Wan Ayden Faiq Wan Azizul Fitri mencipta kejutan apabila muncul juara acara BMX Flatland lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Xtreme Park MBPJ, hari ini.
Lebih menarik, Ayden yang berusia 12 tahun muncul atlet paling muda dalam acara tersebut setelah mengumpul 86.33 mata untuk memenangi pingat emas, meninggalkan Muhammad Daniel Qhalish Mohammad Kasyidy dari Pulau Pinang yang mengutip 81.33 mata di tempat kedua.
Melengkapkan podium adalah rakan sepasukan Ayden, Mohammad Anwar Khairy dari Selangor dengan kutipan mata keseluruhan 79.67 mata.
Bagi Ayden yang mesra disapa Bambam, kejayaan itu cukup bermakna selepas dia sendiri tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul juara, terutama apabila berdepan pencabar yang lebih berusia.
“Saya rasa gembira dan sebenarnya saya tak letak harapan sebab saya tak yakin sangat tetapi saya tetap terus berjuang.
“Bukan tak tidak yakin, cuma saya fikir banyak saingan. Saya tak nak fikir apa-apa dan cuba konsisten,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata Ayden lagi, dia turut mahu mempelajari lebih banyak trik pada pertandingan yang bakal disertainya selepas ini.
“Saya biasanya berlatih di Bukit Kiara dengan rakan-rakan. Kalau saya tak puas hati, saya akan pastikan trik yang saya pelajari itu benar-benar menjadi sebelum saya beralih kepada trik yang berikutnya,” katanya.
Ayden yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas, Batu Caves turut menyimpan impian untuk mewakili negara dan beraksi di pentas antarabangsa pada masa hadapan. -KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026 : Cilik ‘Bambam’ 12 tahun gegar BMX Flatland appeared first on Kosmo Digital.






